Sesetengahnya pula telah menghadiri kelas atau seminar tentang pelaburan saham sama ada percuma ataupun berbayar tetapi masih gagal untuk membuat keuntungan yang konsis­ten. Ada juga yang mengalami kerugian demi kerugian walaupun pasaran dalam trend me­ningkat secara keseluruhan.

Ini disebabkan pelabur atau pedagang tersilap membeli saham yang berada dalam proses penurunan ataupun saham tersebut berada dalam keadaan mendatar untuk tempoh yang lama dan belum lagi menunjukkan tanda-tanda akan naik di­sebabkan ketiadaan pemangkin yang positif.

Tidak dinafikan terdapat ba­nyak saham syarikat tersenarai berada dalam keadaan mendatar untuk satu tempoh lama, justeru, sekiranya pelabur dan pedagang saham tidak menyedari atau menyemak sejarah pergerakan sesuatu saham syarikat tersenarai, tidak mustahil mereka terbeli saham-saham sebegitu.

Peruntukan masa analisis trend pasaran

Tidak dinafikan dengan mempunyai masa yang lebih melihat turun naik saham menjadikan seseorang itu mengingati atau mengenali sifat atau perlakuan sesuatu saham syarikat tersenarai walaupun tidak begitu mahir membaca carta saham atau mempunyai pengetahuan me­luas dalam ilmu analisis teknikal.

Semakin lama masa yang diperuntukan melihat dan mengkaji pergerakan turun naik harga saham menjadikan seseorang itu lebih cepat faham dan arif selok-belok pasaran.

Walau bagaimanapun, tidak semua orang mempunyai masa untuk melihat pergerakan turun naik harga saham ini sewaktu urusniaga. Maka, tidak boleh juga dikatakan sekiranya seseorang itu tidak mempunyai ba­nyak masa melihat pergerakan turun naik ini, dia tidak boleh menjana pendapatan di pasaran saham.

Ramai pelabur jangka masa sederhana dan panjang masih berupaya untuk menjana keuntungan yang lumayan walaupun mereka tidak kerap melihat paparan skrin komputer atau sentiasa mengikuti perkembangan semasa pasaran.

Ini terbukti daripada salah seorang pelanggan Cikgu Saham yang membeli satu saham syarikat tersenarai pada Mei tahun lepas dan menjual saham tersebut pada tahun ini dengan memperoleh pulangan pelaburan sebanyak 120 peratus atau ke­untungan sebanyak RM37,000.

Beliau membeli satu saham syarikat tersenarai pada Mei tahun lepas pada harga RM1.56 sesaham dan menjualnya pada harga RM3.44 sesaham pada Februari tahun ini. Beliau jarang mengikuti perkembangan semasa tentang pasaran atau melihat pergerakan turun naik pasaran sepanjang hari disebabkan ­bekerja seperti orang lain.

Minta bantuan dealer atau ­remisier

Pelabur saham yang kurang memantau portfolio pelaburan mereka perlu menggunakan khidmat dealer atau remisier di syarikat broker saham untuk membantu memantau harga saham yang mereka beli.

Pelabur boleh meminta jasa baik dealer atau remisier untuk memaklumkan sekiranya terdapat perubahan harga sama ada jatuh atau naik tetapi bukanlah memaklumkan secara kerap. Mungkin pendekatan boleh diambil dengan meminta dealer atau remisier memaklumkan kepada pelanggan sekiranya harga saham yang ingin dijual atau dibeli mengalami perubahan harga sama ada naik atau jatuh.

Dalam situasi sekarang terdapat ramai pelabur dan pedagang saham berjaya memperoleh keuntungan yang agak lumayan apabila saham-saham syarikat tersenarai membuat lonjakan harga pada tahun ini.

Saham naik harga sehingga 198 peratus

Pada tahun ini, pelabur atau pedagang saham yang membeli saham syarikat tersenarai sektor minyak dan gas boleh tersenyum lebar melihat peningkatan harga saham-saham tersebut. Terdapat saham syarikat sektor minyak dan gas yang harganya meningkat naik sebanyak 198 peratus pada ketika ini.

Memperuntukkan masa yang banyak melihat pergerakan turun naik pasaran dapat membantu seseorang memahami apakah trend sebenarnya pasaran saham dan bagaimanakah proses turun naik harga saham itu.

Pelabur akan lebih memahami bahawa membeli saham ketika harga murah atau semasa harga menyusut dan menjual ketika harga saham meningkat merupakan satu kaedah untuk menjana pendapatan.

Kita sambung topik ini di minggu hadapan.

Kepada pembaca yang ingin mengetahui cara bagaimana menjana pendapatan di pasaran saham atau urusan pembukaan akaun urus niaga saham boleh hubungi talian 019-2352037.