Presiden Persatuan Industri Marin Malaysia (AMIM) dan Pengerusi Institut Maritim Malaysia (MIMA), Tan Sri Ahmad Ramli Mohd. Nor berkata, China dan Singapura memiliki dasar yang mesra dari segi insentif cukai dan kemudahan perbankan kepada pembina kapal dan pembaik pulih kapal sekali gus meletakkan kedua-dua negara itu lebih ke hadapan dalam industri OSV di rantau Asia.

Katanya, dasar seperti itu berupaya meletakkan Malaysia ke hadapan dalam industri OSV dari segi peralatan dan reka bentuk berbanding pesaing-pesaing lain.

“Pada tahun lalu, kita telah mengimport lebih RM4 bilion untuk perkhidmatan OSV sahaja. Atas sebab itu, kita perlu menggalakkan kerajaan untuk menyediakan satu dasar atau peraturan yang dapat membantu industri ini berkembang dan menghadapi persaingan dari China dan Singapura,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas perasmian Forum Industri Marin Kebangsaan 2014 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Kanan Sektoral Polisi, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Haswani Harun dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (MIGHT), Datuk Dr. Mohd. Yusoff Sulaiman.

Forum tersebut yang dihadiri 100 peserta terdiri daripada pemain industri minyak dan gas, agensi kerajaan, ahli akademik dan penyelidik menjadi platform untuk menerokai sektor minyak dan gas luar pesisir.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan MIGHT, Datuk Ir. Kamarulzaman Zainal berkata, Pelan Strategik Industri Pembinaan dan Pembaikpulih Kapal yang diwujudkan dapat membantu Malaysia menguasai pasaran tempatan yang mana ketika ini dimonopoli syarikat-syarikat asing.

“Ketika ini, kita hanya menguasai 40 peratus pasaran tempatan dan kita mahu meningkatkan kepada 80 peratus menjelang 2020 manakala untuk pasaran global pula kita mahu mencapai dua peratus berbanding sekarang hanya satu peratus,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut mendapatkan khidmat nasihat daripada syarikat asing dan mendapat input daripada mana-mana agensi untuk membolehkan Malaysia mendapat pengalaman terbaik dalam meningkatkan keupayaan industri OSV.