Presiden Federation of Public Listed Companies Berhad, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas berkata, Perdana Menteri berhak mencadangkan individu yang dipercayai layak untuk meme­gang jawatan berkenaan walaupun FGV merupakan syarikat tersenarai berikutan ia adalah sebuah syarikat milik kerajaan (GLC).

Katanya, sebagai GLC, syarikat tersebut tertakluk di bawah bidang kuasa Perdana Menteri dan mereka perlu akur dengan keputusan itu.

“FGV sebagai syarikat tersenarai mempunyai prosedur yang mana jawatankuasa pelantikan perlu membuat keputusan terlebih dahulu, namun apabila Perdana Menteri sudah membuat keputusan, mereka harus akur.

“Ikut undang-undang dan pro­ses takbir urus korporat seper­ti yang dikehendaki oleh Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Malaysia Bhd., Lembaga Pengarah harus mengikut proses takbir urus korporat dan melantik beliau (Azhar) kerana beliau adalah seorang yang banyak pengalaman dalam pengurusan,” katanya.

Beliau diminta mengulas me­ngenai kekeliruan yang berlaku berkaitan pelantikan Azhar sebagai Pengerusi FGV baharu.

Semalam, Perdana Menteri da­lam kenyataannya mengumumkan pelantikan Azhar yang juga merupakan bekas Pengarah Urusan Malakoff Corporation Bhd. (Malakoff) sebagai Pengerusi FGV baharu berkuat kuasa serta-merta.

Bagaimanapun, pengurusan FGV pada hari yang sama telah mengeluarkan kenyataan bahawa sehingga pukul 5.30 petang, mereka tidak menerima sebarang pemberitahuan secara bertulis daripada Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan berkaitan pelantikan terbabit.

Sehubungan itu, Tan Sri Dr. Sulaiman Mahbob dianggap te­rus kekal sebagai Pemangku Pe­ngerusi FGV.