Ramasamy K. Veeran

Presidennya, Ramasamy K. Veeran berkata, transaksi perniagaan mata wang runcit akan mencatat peningkatan 40 peratus kepada RM15 bilion tahun ini berbanding RM10.6 bilion tahun lalu manakala tukaran mata wang juga akan mencatat peningkatan 10 peratus kepada RM80 bilion tahun ini berbanding RM73.5 bi­lion.

Katanya, bagaimanapun satu lagi perniagaan perkhidmatan wang iaitu penghantaran wang dilihat mencatat penurunan tahun ini sekitar tujuh peratus kepada RM32 bilion berbanding RM34.4 bilion tahun sebelum itu.

“Keadaan ini turut berkait de­ngan beberapa faktor antaranya, kita boleh lihat dalam tempoh tiga tahun lalu, terdapat penurunan penghantaran wang dalam kalangan pekerja Nepal dan dalam masa sama penyusutan nilai mata wang turut menyumbang kepada situasi berkenaan.

“Namun, selagi industri pelancongan di negara kita berkembang kukuh, selagi itulah perniagaan perkhidmatan mata wang akan terus positif. Tambahan pula kita mempunyai kira-kira 300,000 pekerja di Singapura dan Brunei, jadi ia akan memberi pulangan yang tinggi dari segi perniagaan mata wang runcit,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Persidangan Perniagaan Perkhidmatan Wang Asia Pasifik 2017 (MAPC 2017) di sini hari ini yang dirasmikan Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Jessica Chew Cheng Lian. Yang turut hadir, Naib Presiden Pembangunan Perusahaan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDeC), G.Ganesalingam.

Persidangan dua hari itu disertai lebih 420 pakar dari 23 negara merangkumi pemain daripada industri pertukaran mata wang dan perkhidmatan kiriman wang, pengawal selia, syarikat teknologi, bank, agensi kerajaan, penyedia perkhidmatan pedagang, penyedia telekomunikasi dan penyedia perkhidmatan wang mudah alih.

Sementara itu, Jessica Chew berkata, BNM akan mengeluarkan cadangan perundangan untuk melaksanakan proses elektronik Know-Your-Customer (e-KYC) bagi transaksi penghantaran wang menjelang Oktober ini.

Menurut beliau, proses elektronik tersebut hanya akan diterbitkan selepas menerima semua komen daripada pemain industri.

Katanya, berikutan langkah itu. keperluan sedia ada bagi pengesahan secara bersemuka untuk pelanggan baharu akan dikeluarkan daripada syarikat yang sudah menerima kelulusan untuk me­laksanakan e-KYC.

“Adalah penting bagi BNM untuk terus menyediakan persekitaran yang menggalakkan inovasi dalam industri kewangan termasuk sektor perkhidmatan wang. Misalnya, menerusi Regulatory Sandbox yang diperkenalkan tahun lalu, adalah merupakan inovasi dalam pendekatan perundangan,” katanya dalam ucapan perasmian MAPC tersebut.