Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking berkata, terdapat minat yang semakin bertambah dalam kalangan pelabur untuk datang ke sini sejak perang dagangan berkenaan dan pertukaran kerajaan selepas pilihan raya umum lalu.


Selain pelabur baharu, katanya, terdapat juga pelabur yang telah meninggalkan negara ini atas pelbagai sebab, namun kini menyatakan hasrat untuk kembali. 


“Beberapa industri mahu mengubah pelaburan mereka di kedua-dua negara, sama ada AS atau China dan mahu menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan baharu.


“Ada pelabur yang meninggalkan Malaysia ingin kembali. Ini adalah satu petanda baik bagi Malaysia,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Penyelarasan Industri (JBI) dengan negeri ini di sini hari ini.


Yang turut hadir, Menteri Besar, Aminuddin Harun.


Darell berkata, sejajar dengan perkembangan itu, kerajaan akan memastikan para pelabur berkenaan mendapat layanan baik selain memudahkan urusan bagi mereka yang kembali ke sini.


Jelasnya, kerajaan akan berganding bahu dengan semua pihak termasuk kerajaan negeri bagi menjayakan usaha berkenaan.


“Antaranya mengalakkan pelabur berprestasi tinggi datang ke zon pertumbuhan ekonomi baharu iaitu Malaysian Vision Valley 2.0 (MVV 2.0) di sini,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE