Menteri Muda Ekologi Perancis, Sebastien Lecornu
SEBASTIEN LECORNU

Menurut Menteri Muda Ekologi Perancis, Sebastien Lecornu, pihaknya komited untuk membekukan import minyak sawit dengan mengambil kira volum pada 2017 dan mengurangkan import tersebut secara berperingkat dalam tempoh beberapa tahun.

“Langkah ini juga dilihat akan mengurangkan penggunaan mi­nyak sawit yang menyebabkan penebangan hutan di Asia Tenggara,” katanya dalam temu bual dengan radio Europe 1 di Perancis.

April tahun lalu, Parlimen Eropah meluluskan satu resolusi yang mensyaratkan hanya mi­nyak sawit dihasilkan secara les­tari boleh diimport ke pasaran EU selepas 2020.

Resolusi berkenaan dianggap tindakan diskriminasi EU yang mahu melaksanakan sekatan terhadap produk minyak sawit dari negara Asia itu bakal menjejaskan seramai 112,632 peneroka Felda dan pekebun kecil.

Susulan itu, pada Januari lalu, hasil pertemuan antara bekas Menteri Tugas-tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Pertahanan Perancis, Florence Parly menyatakan Malaysia boleh bergantung kepada sokongan Perancis kerana ia tidak menyokong resolusi oleh EU untuk melarang minyak sawit.

Bagaimanapun, menurut laporan Reuters, pekebun kecil di Malaysia menyifatkan langkah terbaharu Perancis itu sebagai satu pengkhianatan dan diskriminasi kepada negara.

Semalam, data inventori yang dikeluarkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia mendapati, stok pada Mei menurun dalam tempoh lima bulan berturut-turut, 0.5 peratus bulan ke bulan kepada 2.17 juta tan metrik, terendah sejak September 2017 memandang­kan penggunaan domestik dan eksport melebihi pengeluaran.

MIDF Research berkata, pengguna utama di India kemungkinan mengambil pendekatan tunggu dan lihat sama ada kerajaan akan melaksanakan cukai import ke atas minyak sayuran (selain mi­nyak sawit).

“Pasaran India menyusut 75 peratus pada Mei. Memandangkan data inventori adalah di luar jangkaan, kami menjangkakan ia memberi kesan kepada harga mi­nyak sawit mentah (MSM). Walau bagaimanapun, penurunan harga adalah terhad disebabkan soko­ngan daripada industri biodiesel Indonesia.

“Namun, kami menjangkakan permintaan yang lebih baik dari India seperti kami menjangkakan beberapa aktiviti stok semula selepas negara memutuskan sama ada untuk meningkatkan duti import ke atas minyak lain yang boleh dimakan,” katanya dalam nota kajian hari ini.

Sementara itu, Penganalisis Hong Leong Investment Bank Bhd. (HLIB), Chye Wen Fei berkata, inventori minyak sawit akan kembali menunjukkan trend meningkat pada bulan Jun dan mengunjurkan harga MSM pada RM2,500 satu tan metrik bagi 2018 dan 2019.