Menurut OCBC Bank, ini kerana buat masa ini kerajaan amat komited untuk melaksanakan pelbagai pembaharuan fiskal dan meningkatkan kecekapan perbelanjaan.

Katanya, Belanjawan 2019 diperkukuhkan dengan dividen khas RM30 bilion daripada Petronas tetapi menurut Bloomberg, wang tunai bagi firma berkenaan adalah sekitar RM181 bilion setakat 30 September 2018.

Jelas OCBC Bank, setelah menolak dividen khas RM30 bilion, Petronas masih memiliki baki sebanyak RM151 bilion yang mana bakal membentuk sebanyak 10 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2019.

“Perkiraan itu berdasarkan anggapan ramalan pertumbuhan kerajaan bagi KDNK se­banyak 4.8 pe­ratus dan 4.9 peratus pada 2018 dan 2019.

“Ia juga berbanding unjuran defisit fiskal oleh kerajaan sebanyak 3.4 peratus daripada KDNK pada 2019,” katanya dalam Laporan Prospek Global 2019 di sini.

Belanjawan 2019 menyaksikan kerajaan melaksanakan pendekatan bajet berasaskan sifar dan khususnya per­belanjaan ke atas bekalan dan perkhidmatan serta subsidi, kategori bantuan sosial dijangka jatuh lebih 20 peratus.

OCBC Bank berkata, ke­rajaan akan melaksanakan tanggungjawab berkaitan fis­kal, menubuhkan sebuah pejabat pengurusan hutang dan peralihan akaun kerajaan berdasarkan asas ‘bila timbul’.

“Melangkah ke hadapan, kami terus memantau jika konsolidasi fiskal kerajaan menghasilkan kemajuan yang ketara pada 2019,” katanya.

Dalam perkembangan lain, OCBC Bank menjangka pertumbuhan KDNK perlahan 4.4 peratus pada 2019 mengambil kira pertumbuhan global yang berkemungkinan lemah.

“Perbelanjaan mungkin akan terus menjadi pemacu utama pertumbuhan KDNK memandangkan keadaan pasaran pekerja yang stabil, inflasi yang sederhana dan bantuan kerajaan berterusan walaupun dikurangkan.

“Perbelanjaan awam ba­gaimanapun mungkin perlahan kerana kerajaan melaksanakan konsolidasi fiskal,” katanya.