Produk berkenaan terdiri daripada empat jenis makanan iaitu jeruk harumanis, teh, jus dan gula-gula manakala bakinya bukan makanan seperti kosmetik, sabun basuh dan mandi serta pewangi kenderaan.

Menurut ketua kumpulan itu, Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan, Dr. Azila Azmi, mereka telah dilantik oleh Jabatan Pertanian negeri sebagai Perunding Rekayasa Inovasi Harumanis dalam satu perjumpaan pada Februari lalu.

Katanya, berikutan itu, mereka telah menghasilkan produk-produk berkenaan dengan kerjasama pensyarah dari Fakulti Kejuruteraan Kimia yang mengambil masa kira-kira dua minggu.

“Kesemua produk dihasilkan ini menggunakan bahan asli tanpa pengawet dan pewarna serta tinggi kandungan antioksidan yang baik untuk kesihatan.

“Bagi menghasilkan produk-produk ini, kita menggunakan sejumlah tertentu daun dan mempelam harumanis muda iaitu buah yang gugur, sebelum cukup masak,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Festival Harumanis 2018 di Pusat Kecemerlangan Harumanis Bukit Bintang di sini hari ini.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat melancarkan festival berkenaan.

Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Menurut Azila, selain beliau, pensyarah yang terlibat dalam kumpulan itu terdiri daripada Dr. Rafidah Aida Ramli, Zamri Ahmad; Mohd. Faisal Abdul Wahab dan Mohamad Syazwan Osman.

Tambah beliau, produk-produk itu akan dipasarkan melalui koperasi Jabatan Pertanian negeri dan boleh mula didapati mulai hari ini. - UTUSAN ONLINE