Perunding Kewangan, Khairul Ezuwan Yusoff berkata, trend peni­puan hartanah yang semakin meningkat kebelakangan ini dapat dielakkan sekiranya pembeli mempunyai asas-asas pengetahuan dalam bidang hartanah dan pembinaan.

Katanya, syarikat penipuan hartanah lazimnya menawarkan harga yang jauh lebih rendah dari harga pasaran dan ia mengakibatkan orang ramai berpusu-pusu untuk membuat pembelian tanpa memikirkan risiko yang terpaksa ditanggung kelak.

“Jika pembeli ada sedikit pengetahuan asas mengenai kos binaan dan buruh, mereka tidak akan sewenang-wenangnya tertipu. Kes penipuan ini biasanya berlaku disebabkan oleh sikap pembeli itu sendiri yang terpedaya dengan janji manis dan harga di bawah pasaran yang ditawarkan.

“Saya menyarankan pembeli rumah khususnya pembeli rumah pertama, anda kaji dulu latar belakang syarikat pemaju, selidik projek-projek mereka sebelum ini sebelum meneruskan pembelian,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui pada Simposium Hartanah Utusan 2017 (SHU 2017) di sini hari ini.

SHU 2017 anjuran bersama akhbar Utusan Malaysia dan MMC Sdn. Bhd. yang berlangsung selama dua hari bermula Sabtu menampilkan 11 penceramah hartanah terkemuka bagi mengupas ilmu hartanah dengan lebih mendalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas peningkatan kes-kes berkaitan penipuan hartanah yang tular dalam kalangan pengguna Facebook baru-baru ini.

Khairul Ezuwan berkata, kes-kes tersebut juga turut memberi impak kepada syarikat pemaju dan kontraktor berskala kecil yang menawarkan harga rumah lebih rendah berbanding syarikat pemaju terkemuka

“Ia membuatkan orang ramai kini takut pula hendak beli atau bina rumah bila pemaju atau kontraktor tawarkan dalam harga yang rendah.

“Tidak semua rumah itu mahal, kita hanya perlu tahu kos-kos berkaitan. Yang penting kita punya ilmu agar tidak mudah terpedaya,” jelasnya.