CHIN YEW SIN

Penganalisis Ekonomi, Profesor Datuk Dr. Chin Yew Sin berkata, berdasarkan kajian beliau, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merekodkan pertumbuhan negatif 3.75 peratus dalam tempoh 2013-2017 berbanding Bursa Saham Indonesia (IDX) yang mencatatkan peningkatan 48.73 peratus.

Katanya, prestasi bursa tempatan yang tidak memberangsangkan itu berikutan SC dan Bursa Malaysia yang dilihat terlalu ketat dalam melaksanakan tindakan penguatkuasaan terhadap peserta pasaran berbanding negara rantau Asia lain.

“Perlu diakui SC memainkan peranan penting bagi memastikan keadilan, ketelusan dan operasi yang lancar tetapi kebanyakan pelabur merasakan pasaran saham Malaysia tidak beroperasi secara bebas.

“Ia juga mengakibatkan berlaku pengurangan tawaran awam permulaan (IPO) di dalam negara iaitu hanya sebanyak 21 IPO pada 2017 berbanding 42 di Bursa Saham Thailand (SET), 36 IPO di IDX dan 14 IPO di Bursa Singapura (SGX),” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Huazong dekat sini hari ini.

Yew Sin merupakan Penasihat Kanan Sidang Kemuncak Ekonomi Dunia China dan Pe­ngarah EKA Noodles Bhd. Beliau juga Pengerusi Kolej Penyelidikan Strategi Satu Jalur Satu Laluan (OBOR) merangkap Penasihat Akademik Universiti Limkokwing.

Berdasarkan tinjauan beliau, jumlah tindakan undang-undang meliputi denda dan teguran terha­dap syarikat tersenarai di Bursa Malaysia lebih banyak dilakukan di Malaysia iaitu sebanyak 133 aktiviti berbanding Singapura (58) dan Thailand (93) pada 2015.

Bagaimanapun, jumlah tindakan itu berkurangan pada 2017 kepada 63 aktiviti di Malaysia berbanding Thailand (88) dan Singapura (59).

Sehubungan itu, Yew Sin mencadangkan agar SC dan Bursa Malaysia tidak terlalu agresif mengenakan tindakan undang-undang sebaliknya lebih ba­nyak memberi bimbingan kepada syarikat.