Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Penyelidikan dan Pembangunan, Perisian dan Perkhid­matan Perniagaan Komunikasi Mudah Alih Samsung Electro­nics, Injong Rhee berkata, peluasan perkhidmatan tersebut membolehkan interaksi pintar antara pengguna dengan peranti mereka.

Beliau berkata, selain Korea Selatan dan Amerika Syarikat, negara lain yang terlibat adalah United Kingdom (UK), Australia, Kanada dan Afrika Selatan.

“Bixby membantu mening­katkan produktiviti dan kece­ka­pan peranti menerusi arahan pantas yang memboleh­kan peng-
guna mencipta pelbagai arahan suara mengikut kesesuai­an mereka. Selain itu, Bixby mampu untuk mengenal pasti pelbagai bentuk percakapan, perta­nyaan dan permintaan daripada pengguna.

“Contohnya, pengguna hanya perlu memberikan arahan ‘selamat malam’ dan ia akan bertindak sebagai pintasan untuk mengaktifkan mod do not disturb serta menetapkan penggera. Apabila sesebuah aplikasi membenarkan penggunaan Bixby, ia akan menyokong hampir kesemua tugasan yang menggunakan suara, sentuhan dan perkataan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Rhee, Samsung me­rancang untuk mengembangkan lagi Bixby dalam pelbagai bahasa, peranti, ciri-ciri baharu dan dalam aplikasi pihak ketiga.

“Dengan meningkatkan pe­ngalaman pengguna terhadap Bixby, ia dapat membantu me­lancarkan interaksi mereka bersama peranti serta menguruskan aplikasi dengan cekap,” katanya.