Ketua Pegawai Eksekutif Zurich Takaful Malaysia Bhd., Mukesh Dhawan berkata, pendekatan menyeluruh oleh penggiat industri untuk memenuhi segmen B40 dapat menyokong objektif Bank Negara Malaysia untuk penembusan takaful keluarga 25 peratus di bawah Pelan Sektor Kewangannya 2011-2020.

“Apabila negara berkembang anda akan bimbang terhadap bahagian bawah piramid. Oleh itu, adalah sangat logik untuk Perdana Menteri (Tun Dr. Mahathir Mohamad) dan negara untuk memikirkan kumpulan B40,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai pendekatan syarikat takaful untuk meningkatkan kadar penembusan di kalangan kumpulan B40 untuk meningkatkan kualiti hidup mereka.

Awal tahun ini, kerajaan melancarkan Skim Perlindungan Kebangsaan mySalam B40 yang menyediakan perlindungan takaful untuk kumpulan itu.

Skim ini membantu mereka menangani kesulitan kewangan yang timbul apabila dimasukkan ke hospital kerajaan atau apabila mereka di diagnosis dengan salah satu daripada 36 penyakit kritikal. - BERNAMA