VEERINDERJEET SINGH
VEERINDERJEET SINGH

Pengerusi Eksekutif Axcelasia Inc., Dr. Veerinderjeet Singh berkata, dalam masa sama, langkah kerajaan memberi ­Tax Holiday selama tiga bulan mulai 1 Jun hingga 1 September 2018 juga dilihat tidak membantu penurunan harga barang seperti yang diharapkan rak­yat berbanding ketika GST dilaksanakan pada kadar enam peratus.

Katanya, adalah lebih efisien sekiranya kerajaan mengekalkan sistem cukai tersebut tetapi de­ngan kadar lebih rendah antara tiga hingga empat peratus berbanding memperkenalkan semula cukai jualan dan perkhidmatan (SST) 2.0 dengan kadar 10 dan enam peratus.

“Pada ketika rakyat mengeluh mengenai kos sara hidup, adalah lebih baik kadar GST ini dikurangkan manakala SST pula pada kadar lima peratus, dan bukannya dengan mengembalikan semula sistem SST yang saya lihat ini adalah satu langkah regresif (ke belakang) memandangkan GST adalah satu langkah progresif.

“Ia hanya boleh dibuat begitu sekiranya kesedaran dan pe­ngetahuan rakyat mengenai sistem cukai adalah lemah seperti berlaku di negara-negara Afrika ke­rana rak­yatnya tidak mempunyai pengetahuan mengenai cukai nilai tambah (VAT) apatah lagi tahap pendidikan mereka yang rendah. Tetapi di Malaysia adalah berbeza.

“Saya berharap apabila rakyat sudah bersedia (termasuk menikmati pendapatan yang lebih tinggi), GST ini boleh diper­kenalkan semula dengan ciri-ciri yang ditambah nilai. Jadi, saya berharap selepas dua tahun SST dilaksanakan dan jika tidak bersesuaian, kita kena mencari pilihan yang lain,” katanya dalam sidang akhbar selepas Seminar SST di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan Axcelasia Taxand Sdn. Bhd., Leow Mui Lee.

GST merangkumi 60 peratus daripada Bakul Barangan dan Perkhidmatan CPI (Indeks Harga Pengguna), berbanding SST yang hanya merangkumi 38 peratus daripada Bakul Barangan CPI.

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menjangkakan kira-kira 6,400 jenis barangan akan dikenakan SST berbanding 11,197 barangan yang dikenakan GST. Sebelum ini, terdapat 470,000 syarikat pengeluar yang berdaftar de­ngan sistem MyGST dan JKDM akan memindahkan lebih 70,000 daripada jumlah tersebut ke dalam sistem MySST secara berpe­ringkat.

Bagaimanapun, Veerinderjeet meng­akui GST juga mempu­nyai kelemahan tertentu terutama dari segi bayaran balik yang lambat sehingga menyebabkan harga barang terpaksa dinaikkan bagi menampung kos yang telah di­belanjakan oleh pengeluar.

“Bayaran balik ini sepatutnya diselesaikan dalam tempoh 14 hari tetapi ia asyik tertangguh lama disebabkan kesibukan JKDM membuat semakan audit jadi mana-mana pengeluar akan menanggung kos yang tinggi yang akhirnya terpaksa menaikkan harga barang bagi menangani kenaikan kos,” katanya.

Beliau yang mempunyai pengalaman 35 tahun dalam bidang cukai berkata, pihaknya juga menantikan langkah yang akan diambil oleh kerajaan menerusi kementerian terbabit bagi mengawal kenaikan harga barang dalam pasaran.

Katanya, mana-mana pihak juga tidak boleh membuat andaian sama ada harga barang akan turun ataupun tidak kerana ia melibatkan beberapa barang yang dikecualikan cukai di bawah SST.

Menurutnya, jika mahu membuat perbandingan harga, bandingkan ketika Mei (ada GST) dengan harga baharu pada 1 September ini (dengan SST) dan kementerian harus mengemukakan senarai harga barang-barang ini bagi mengelakkan pengguna keliru.

“Dalam masa sama, kerajaan juga diminta tidak terlalu memberi fokus untuk memenuhi manifesto mereka dengan memansuhkan GST tanpa melihat keseluruhan sistem cukai itu apatah terdapat sesetengah ahli politik tidak mempunyai pengetahuan mengenai GST mahupun SST.

“Sebagai contoh, GST pada enam peratus mengutip RM44 bilion tetapi pada tiga peratus pula ia menyumbang RM22 bilion, sama seperti apa yang SST kutip. Jadi, adakah kerana ahli politik tidak tahu atau tidak suka dengan GST?” katanya.