KUALA LUMPUR 6 Feb. - Aktiviti pengambilan pekerja dalam talian bagi sektor minyak dan gas (O&G) kekal positif sepanjang 2018 meningkat lapan peratus setahun ke setahun menurut Indeks Pekerjaan Monster (MEI).
Ketua Pegawai Eksekutif Monster.com bagi Asia Pasifik dan Asia Barat, Abhijeet Mukherjee berkata, prestasi positif sektor itu merupakan peningkatan untuk tempoh 21 bulan berturut-turut sejak April 2017.
Menurut beliau, para pemain industri O&G tetap yakin dengan prospek industri kerana aktiviti pengambilan pekerja dalam talian berada di unjuran positif sepanjang 2018 walaupun sektor berkenaan mengalami turun dan naik menuju ke hujung tahun.
“Penganalisis ekonomi optimis mengenai penstabilan harga minyak mentah pada 2019 dan meramalkan peningkatan dalam aktiviti huluan dan hiliran. Perubahan dalam pasaran global, inovasi dan teknologi terus memainkan peranan penting apabila syarikat berusaha untuk memenuhi keperluan tenaga yang semakin meningkat secara lestari.
“Tumpuan kepada automasi dan teknologi pintar memerlukan syarikat terus berinovasi untuk kekal tangkas dan berdaya saing dan mewujudkan permintaan untuk bakat baharu dengan kemahiran teknikal serta kreatif,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Monster merupakan peneraju kerjaya dalam talian dan sumber pengambilan pekerjaan selama lebih 20 tahun. Syarikat itu mempunyai operasi di India, Singapura, Malaysia, Filipina, Hong Kong, Vietnam, Thailand, Indonesia, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi.
Sebelum ini, Pengarah Urusan O&G Moodys, Steve Wood berkata, pasaran menjangkakan minyak terus mencatatkan pertumbuhan permintaan kukuh di sebalik kebimbangan terhadap ekonomi yang perlahan, kesan tarif dan pengukuhan nilai dolar Amerika Syarikat (AS).
Sementara itu, Mukherjee berkata, sektor teknologi maklumat dan telekomunikasi menyaksikan pertumbuhan setahun ke setahun tertinggi dalam kalangan sektor industri lain untuk tempoh enam bulan berturut-turut dengan peningkatan sebanyak 18 peratus pada Disember.
Katanya, di antara kategori pekerjaan profesional seperti hospitaliti dan perjalanan, ia mencatatkan pertumbuhan ketara sebanyak 44 peratus setahun ke setahun pada Disember.
Bagaimanapun, katanya, se- cara keseluruhan, Malaysia mencatatkan penurunan sebanyak tiga peratus dalam aktiviti pengambilan pekerja dalam talian.
“Industri perbankan, perkhidmatan kewangan dan insurans (BFSI) berada pada arah menurun sepanjang 2018 dengan penurunan setahun ke setahun sebanyak 12 peratus pada Disember. Permintaan untuk peranan kerja kewangan dan perakaunan juga menurun sebanyak 13 peratus,” ujarnya.
Selepas menerajui permintaan pengambilan pekerja se- lama dua bulan, kerjaya perkhidmatan pelanggan menyaksikan kejatuhan paling mendadak dengan penurunan sebanyak 29 peratus tahun ke tahun.