Bagi penduduk di sekitar Pengerang, projek PIC yang di­umumkan pada tahun 2011 ini bagaikan bulan jatuh ke riba. Dengan kos pelaburan seba­nyak AS$27 bilion dan melibatkan pembinaan pelbagai fasiliti bertaraf dunia, projek ini dilihat sebagai membuka peluang ke­emasan bagi mereka.

Begitulah juga bagi Zabree Hashim, 38, anak kelahiran Pe­ngerang bersama rakan-rakannya yang memiliki keboleh­an dalam bidang pembinaan dan turut mencuba nasib untuk menyertai projek itu.

Menyedari peluang lebih cerah jika tampil sebagai sebuah kumpulan yang terselia dan profesional serta dapat memberi manfaat secara saksama kepada semua yang terlibat, Zabree dan rakan-rakannya telah membida kerja-kerja pembinaan berskala kecil.

Namun, usaha mereka untuk mendapatkan projek kerja-kerja pembinaan itu tidak membuahkan hasil seperti yang diharapkan.

Ini disebabkan syarat kelayakan contohnya dari segi projek pembangunan fasiliti minyak dan gas seperti PIC memerlukan kemahiran yang khusus, dan kontraktor yang terpilih perlu memenuhi pelbagai syarat kelayakan contohnya dari aspek kewangan, teknologi dan keselamatan.

Walau bagaimanapun, bak kata pepatah, kalau sudah rezeki, takkan ke mana. Pada tahun 2015, satu peluang yang lain untuk menyertai projek PIC muncul kembali. Kali ini, peluang itu datang bukan dalam bidang pembinaan, tetapi untuk menceburi bidang perniagaan.

“Ketika itu, pegawai Petronas yang sudah mesra dengan penduduk setempat memberi cadangan alternatif iaitu membuka stesen minyak Petronas dan membekal minyak diesel untuk kegunaan projek.

“Petronas mencadangkan agar Koperasi Pengerang Jaya Johor (KOPEJA) yang ditubuhkan pada 2013 untuk menceburi bidang perniagaan bagi mereali­sasikan peluang tersebut,” cerita Zabree yang kini merupakan Pengerusi KOPEJA.

KOPEJA ketika itu, hanya terlibat dengan perusahaan kecil-kecilan.

Menurut Petronas, kemasukan KOPEJA dalam perniagaan stesen minyak ini akan membolehkan lebih banyak penduduk setempat mendapat manfaat kerana keahlian koperasi terdiri daripada penduduk tujuh buah kampung yang kini ditempatkan di Taman Bayu Damai.

“Kami tidak mempunyai apa-apa pengalaman dalam perniagaan minyak apatah lagi pengendalian stesen minyak,” sambung beliau. “Jadi, kami usulkan cadangan ini pada mesyuarat agung tahunan KOPEJA dan mendapat maklum balas positif daripada ahli,” ujarnya.

Menurut Zabree, Petronas menerusi anak syarikatnya, Petronas Refinery and Petrochemical Corporation Sdn. Bhd. (PRPC) dan Petronas Dagangan Berhad (PDB), banyak memberi tunjuk ajar serta bimbingan untuk membantu koperasi tersebut sejak permulaan sehingga ia mampu membekal sebanyak 360,000 liter diesel sehari untuk kegunaan projek.

“Alhamdulillah, pulangan yang diraih memuaskan ahli koperasi, tetapi perniagaan ini amatlah mencabar. Stesen minyak kami memiliki lapan buah tangki diesel dan beroperasi di dalam kawasan projek.

“Banyak yang harus kami pelajari kerana ia tidaklah se­perti stesen minyak biasa di luar sana. Di dalam kawasan projek memerlukan pengendalian yang amat teliti terutamanya aspek keselamatan, untuk mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini dari berlaku,” katanya lagi.

“Keutamaan kami adalah mengekalkan kepercayaan Petronas terhadap kami selaku kontraktor tempatan yang boleh menjalankan perniagaan dalam melengkapi projek berskala besar. Tunjuk ajar dalam menjalankan perniagaan adalah penting untuk memastikan perusahaan yang dijalankan mendapat hasil seperti yang disasarkan. Petronas sentiasa memberi panduan dalam urusan-urusan yang perlu dilakukan, selain nasihat agar terus berkembang,’’ jelasnya.

Pembangunan PIC kini hampir 75 peratus siap, dan loji penapisan minyak dijangka beroperasi pada tahun 2019. Fasiliti-fasiliti lain seperti loji petroki­mia akan menyusul tidak lama kemudian.

Melihat Pengerang bakal menjadi hab industri hiliran minyak dan gas terbesar negara serta boleh menjana peluang pekerjaan kepada penduduk, Zabree menyeru masyarakat di sekitar Pengerang untuk sentiasa me­ninjau apa-apa sahaja peluang yang boleh menambah pendapatan, sekaligus mengubah taraf hidup mereka.

“Kita perlu bersedia berubah jika kita ingin berjaya, terutama sekali golongan muda. Kita mesti berani mencuba, rajin, cekal dan berfikiran luas. Ini kerana, banyak peluang yang terbuka dengan kewujudan projek PIC.”