Azman Mohd.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Ir. Azman Mohd. berkata, kumpulan merekodkan keuntungan sebelum cukai, faedah, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) sebanyak RM7.79 bilion dengan Margin EBITDA pada 31.4 peratus.

Beliau berkata, keuntungan selepas cukai kumpulan stabil pada RM3.39 bilion, yang mana 61.9 peratus adalah daripada perniagaan yang dikawal selia.

“Pengumuman semakan semula Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) bagi tempoh Julai hingga Disember 2018 yang dibuat pada 29 Jun 2018 menyaksikan surcaj ICPT seba­nyak 1.35 sen/kwj.

“Ini adalah kali pertama surcaj disalurkan kepada pelanggan, membuktikan keberha­silan pelaksanaan dan kelangsungan rangka kerja Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR). Walau bagaimanapun, kerajaan telah memutuskan bahawa surcaj bagi pelanggan domestik atau kediaman bagi tempoh Julai hingga Disember 2018 dibiayai melalui Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE) agar tidak membebankan rakyat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, rangka kerja IBR memaparkan ketelusan dalam penetapan tarif untuk pelanggan.

Ujarnya, pada setiap enam bulan, mekanisme ICPT, iaitu sebahagian daripada rangka kerja, menentukan sama ada surcaj atau rebat dilepaskan kepada pe­langgan, bergantung terutama­nya pada harga pasaran arang batu yang menjadi bahan api utama dalam menjana elektrik.

“Mekanisme ICPT dirancang untuk mencerminkan harga elek­trik sebenar bagi menggalakkan kelestarian ekonomi, sosial dan alam sekitar untuk negara,” jelasnya.

Dalam pada itu Azman berkata, lembaga pengarah telah meluluskan nisbah pembayaran dividen 50 peratus daripada keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) kumpulan, yang berada di peringkat lebih tinggi daripada 30 hingga 60 pera­tus polisi dividen syarikat.