Ketua Perkongsian Global TransferWise, Scott Miller berkata, syarikat berkenaan telah membina chatbot dalam Facebook Messenger iaitu program automatik yang membantu pengguna berkomunikasi dengan perniagaan dan menjalankan pelbagai tugas seperti pembelian dalam talian.

Katanya, chatbot TransferWise membolehkan pelanggan menghantar wang kepada keluarga dan rakan dari dan ke Amerika Syarikat (AS), Britain, Kanada, Australia dan negara-negara Eropah lain melalui Facebook Messenger selain boleh digunakan untuk memberitahu kadar tukaran wang.

“Walaupun chatbot TransferWise kini hanya terdapat dalam Facebook Messenger, namun ia boleh disesuaikan untuk digunakan dalam perkhidmatan perbualan popular lain.

“Perkhidmatan ini akan dikembangkan untuk digunakan ke negara-negara lain dan bilangan laluan pemindahan wang juga bakal ditingkatkan mengikut jumlah negara TransferWise bero­perasi,” katanya hari ini.

Pelancaran perkhidmatan ber­kenaan hadir bagi memberi saingan dalam sektor pembayaran mudah alih dan pemindahan wang antarabangsa selepas beberapa pesaing TransferWise seperti PayPal Holdings Inc. mengumumkan aplikasi pembayaran, Venmo yang boleh digunakan dalam perkhidmatan perbualan popular, Slack, awal bulan ini.

TransferWise merupakan sebuah syarikat teknologi kewangan (fintech) terkenal di Eropah yang ditubuhkan pada 2011 oleh warga Estonia, Taavet Hinrikus dan Kristo Käärmann dan kini bernilai lebih AS$1 bilion (RM4.46 bilion).

Facebook telah membuka Messenger kepada pencipta aplikasi April lalu untuk menghasilkan chatbot dalam usaha mengembangkan jangkauan mereka. – reuters

Syarikat media sosial terkemuka itu juga telah membenarkan pengguna untuk menghantar wang secara domestik di AS melalui aplikasi Messenger, namun belum melancarkan perkhidmatan serupa untuk pasaran antarabangsa.

Menurut TransferWise, perkhidmatan yang baharu dilancarkan itu juga merupakan perkhidmatan pertama yang membolehkan penghantaran wang antarabangsa dalam Facebook Messenger sepenuhnya. - REUTERS