Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, seperti sedia maklum, Malaysia dijangka mencapai status negara maju merangkumi pelbagai dimensi dalam ekonomi, politik, sosial, rohani, psikologi dan budaya di bawah RMK-11 menjelang 2020.

Bagi mencapai matlamat itu, katanya, pembangunan ekonomi di negara ini perlu dibangunkan serentak termasuk kawasan luar bandar di Sarawak dan Sabah.

“Pada 2016, sektor pembinaan berkembang sebanyak lapan pe­ratus hasil manfaat daripada pelaksanaan pelbagai projek kerajaan di bawah RMK-11 termasuk pembinaan berterusan Lebuh Raya Pan Borneo.

“Pertumbuhan itu juga di­sokong oleh permintaan kukuh dalam aktiviti pembinaan oleh sektor swasta dalam kedua-dua subsektor kediaman dan bukan kediaman,” katanya berucap me­rasmikan Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan Sarawak Ke-4: ‘Digital Sarawak, Me­ngu­kuh Pertumbuhan’ anjuran Institut Strategi dan Ke­pimpinan Asia (ASLI) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Fadillah ber­kata, di bawah Teras Strategik Ketujuh RMK-11, tumpuan adalah untuk mengukuhkan infrastruktur dalam menyokong pengembangan ekonomi negara dengan memberi tumpuan kepada membina sistem pengangkutan ber­asaskan keperluan bersepadu.

Katanya, inisiatif perlu memberi tumpuan kepada penyediaan sistem pengangkutan yang lancar dalam meningkatkan perhubu­ngan dan mobiliti rakyat.

Beliau berkata, infrastruktur yang baik adalah asas kemasukan sosial, pengembangan ekonomi dan pertumbuhan, sekali gus memerlukan kementerian secara proaktif membangunkan projek infrastruktur seperti Pembangunan Bersepadu Penapisan dan Petrokimia (RAPID), Transit Ali­ran Massa 3 (MRT 3) dan Lebuh Raya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah dan Sarawak.

Dalam pada itu, katanya, kementerian menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR) secara aktif melaksanakan teknologi Sistem Binaan Berindustri (IBS) dalam semua projek kerajaan untuk mendapat skor 70 peratus dan 50 peratus bagi sektor swasta.

“Rekod CIDB menunjukkan banyak projek ikonik negara berjaya dibina menggunakan IBS seperti Menara Berkembar Petronas, KL Sentral, Stadium Nasional Bukit Jalil, Menara Kuala Lumpur dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Penggunaan teknologi IBS akan mengurangkan sehingga 50 peratus kebergantungan kepada pekerja asing dan memastikan lebih banyak peluang untuk tenaga kerja di Malaysia.

“Sasaran CITP ialah penggunaan teknologi IBS boleh me­nyumbang dengan menggandakan tahap produktiviti sebanyak 2.5 kali hingga AS$16,500 (RM69,807) bagi setiap pekerja menjelang 2020,” ujarnya.