Anthony Chiam
ANTHONY CHIAM

Menurut Kaji Selidik Pembia­yaan Pengguna Automotif Malaysia J.D. Power 2018, Maybank di tangga teratas dalam kepuasan pelanggan terhadap pembiayaan pengguna segmen berkenaan diikuti CIMB Bank dan Hong Leong Bank.

Ketua Amalan Industri Per­khidmatan J.D. Power, Anthony Chiam berkata, meskipun masih ramai pelanggan memohon pembiayaan automotif mereka secara mengisi borang kertas, mereka kurang berpuas hati berbanding pelanggan yang memohon secara dalam talian.

Katanya, kepuasan keseluruhan adalah lebih tinggi dalam kalangan pelanggan yang menerima kelulusan pembiayaan automotif bagi tempoh dua hari bekerja berbanding mereka yang perlu menunggu selama tiga atau empat hari bekerja.

“Tempoh kelulusan untuk permohonan adalah satu daripada pemacu utama kepuasan. Pelanggan jelas lebih suka kemudahan platform permohonan layan diri 24 jam.

“Walau bagaimanapun, pada masa ini hanya terdapat beberapa penyedia yang menawarkan permohonan pembiayaan automotif secara dalam talian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beralih kepada proses platform digital boleh memberi manfaat besar dalam memenuhi kehendak pelanggan dan menambah baik keseluruhan pengalaman mereka.

Kira-kira 82 peratus daripada mereka yang dikaji menyatakan le­bih suka proses permohonan tanpa kertas untuk produk pembiayaan automotif mereka akan datang.

Kaji selidik itu juga mendapati kepuasan adalah lebih tinggi dalam kalangan pelanggan yang membeli produk pembiayaan automotif Islam (25 peratus) berbanding produk konvensional.

Kaji Selidik Pembiayaan Pengguna Automotif 2018 dijalankan pada Mac dan April 2018 adalah berdasarkan maklum balas daripada 2,504 pembeli kereta baharu yang memperoleh pembiayaan kenderaan dalam tempoh 12 bulan lepas.