Projek perbandaran berkonsep hijau dengan ciri-ciri pembangunan yang mapan itu kini sedang giat dilaksanakan oleh Johor Land Berhad (JLand), anak syarikat Kumpulan Johor Corporation (JCorp).

Pengarah Urusan JLand, Lukman Abu Bakar berkata, perbandaran itu dijangka menempatkan 17,200 unit perumahan dan lot kedai serta dihuni lebih 90,000 penduduk.

“Perbandaran Bandar Dato' Onn ini dirancang dengan teliti oleh JLand bagi mewujudkan sebuah persekitaran yang indah, moden dan selesa untuk didiami.

“Lokasinya yang terletak di te­ngah-tengah Iskandar Malaysia juga selari dengan aspirasi kerajaan negeri yang sedang meng­ubah landskap bandar raya ini menjadi metropolitan bertaraf dunia, seterusnya meningkatkan pasaran hartanah di Johor, khususnya permintaan untuk kediaman hartanah," katanya pada Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Doa Selamat Sempena 45 Tahun JLand di Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato' Onn, di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim dan Pengerusi Mutiara JCorp, Datin Noor Laila Yahaya.

Lukman berkata, selain menempatkan Masjid Sultan Iskandar yang menjadi mercu tanda, perbandaran itu turut dilengkapi pelbagai kemudahan lain seperti balai polis, sekolah, taman rekreasi dan sebuah pusat beli-belah terkemuka yang dijangka siap pada penghujung tahun ini.

Menurutnya, selain Bandar Dato' Onn, JLand juga telah dan sedang membangunkan kediaman dan komersial di Perbandaran Pasir Gudang dan Taman Dahlia di Pasir Gudang, Taman Damansara Aliff dan Taman Seroja di sini, Bandar Tiram di Ulu Tiram serta Taman Mutiara Gading di Batu Pahat.

“Secara keseluruhan, JLand telah berjaya membina sebanyak 35,510 unit kediaman dan komersial di seluruh negeri ini dan akan terus mewujudkan konsep pembangunan yang inovatif dan menyediakan kediaman berkualiti serta mampu dimiliki selain perjiranan yang lebih eksklusif.

“Selain itu, JLand juga telah membina Menara JLand dan bangunan pejabat Gred A Kategori Emas Indeks Bangunan Hijau (GBI) yang dijangka siap pada penghujung tahun ini," katanya.