Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Azman Mahmud berkata, syarikat-syarikat tersebut juga perlu menerima perubahan pasaran supaya dapat kekal kompetitif dan menjadi sebahagian daripada ekosistem pembangunan rel.

Katanya, pihaknya sentiasa meng­galakkan pemindahan tek­no­logi terkini, meningkatkan pe­luang pekerjaan dan pembangunan bakat-bakat baharu serta mengekalkan pertumbuhan pemain industri rel tempatan termasuk PKS dalam pelbagai sektor berkaitan.

“MIDA secara berterusan akan terus membantu membuka pe­luang kepada PKS untuk menyertai rangkaian bekalan dalam syarikat multinasional di Malaysia.

“Ini kerana kami menyedari bahawa pembangunan infrastruktur adalah pemangkin penting untuk menggalakkan pelaburan bagi merangsang pertumbuhan ekonomi negara dan untuk itu, pelbagai usaha perlu dilaksanakan bagi menggalakkan hubungan mapan antara pihak berkepentingan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Persidangan Rangkaian Bekalan Projek Rel dan Ekspo Kerjaya 2018 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan; Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan dan Ketua Pegawai Eksekutif My­HSR Corporation (MyHSR Corp.), Datuk Mohd. Nur Ismal Mohamed Kamal.

Persidangan anjuran MIDA itu menarik penyertaan lebih 2,000 peserta daripada pelbagai pe­ringkat pemain industri termasuk pihak berkuasa tempatan, dewan perniagaan dan kedutaan. Bagi Ekspo Kerjaya yang diadakan selama dua hari itu, ia melibatkan 100 syarikat dan menyediakan 20,000 peluang pekerjaan.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Industri Rel Malaysia (MARIC), Datuk Dr. Mohd. Yusoff Sulaiman berkata, projek-projek seperti Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR), Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan MRT3 memerlukan kira-kira 5,000 hingga 6,000 peluang pekerjaan untuk sistem sahaja.

“Ini adalah peluang untuk kita mewujudkan pembangunan bakat-bakat tempatan yang berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan projek ini. Jadi, satu daripada usaha MARIC ialah mencadangkan pembangunan pendaftaran pekerja bagi memudahkan kami mengenal pasti penempatan pekerja dan peluang pekerjaan yang ditawarkan,” katanya.