Pengerusi Kehormat Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia, Datuk Mokhtar Samad gusar kontraktor bumiputera sukar bersaing dengan syarikat besar jika tiada kuota khas yang telah dimohonnya sejak 26 Mei lalu.

Katanya, setakat ini, 10 peratus daripada 30,000 kontraktor bumiputera berdaftar menghantar penyertaan program pendaftaran Pra-Kelayakan (Pra-Q) bagi kerja-kerja sivil projek ECRL.

Jelas beliau, pihaknya me­ngalu-alukan penyertaan yang positif dalam kalangan ahli persatuan untuk turut serta di dalam projek bernilai RM44 bi­lion itu dan mengharapkan penilaian yang telus.

“Lebih 1,000 syarikat pembinaan Malaysia di seluruh negara menyasarkan peluang mendapatkan sebahagian daripada 40 peratus kerja-kerja sivil itu, sudah pasti banyak syarikat besar lain turut serta.

“Kami hanya meminta 20 peratus kuota khas supaya membolehkan persaingan yang adil buat syarikat kontraktor bumiputera,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pada 15 April lalu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pemba­bitan Malaysia dalam kerja-kerja awam projek ECRL ditingkatkan kepada 40 peratus berbanding 30 peratus susulan pemeteraian Perjanjian Tambahan (SA) antara Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd. (CCCC) pada 12 April.

Dalam satu temu ramah de­ngan Bernama, Wakil Khas Perdana Menteri untuk run­dingan semula projek mega ECRL bersama kerajaan China, Tun Daim Zainuddin berkata, sektor pembekalan dan aspek teknikal antara yang perlu direbut kontraktor bumiputera dan tempatan dalam projek mega tersebut.

“Datang jumpa saya jika malu, saya akan bantu jika mereka betul-betul layak. Ja­ngan mengharapkan kerajaan untuk datang kepada anda. Anda sendiri yang perlu bersedia dan berjumpa dengan pemain industri,” kata­nya dalam laporan media pada 19 April lalu.

Meskipun begitu, sehingga kini, masih tiada sebarang pe­ngumuman tentang kuota khas berkenaan.