Menurut laporan Trend Pembayaran Mudah Alih Dalam Kalangan Pelancong China 2018 yang diterbitkan oleh Nielsen dan Alipay, pelancong dari negara tembok besar itu membawa gaya hidup tanpa tunai mereka di luar China.

Kaji selidik itu mendapati, dua pertiga atau 69 peratus pelancong China membuat pembayaran menerusi telefon mudah alih di luar negara, meningkat empat peratus daripada tahun sebelumnya manakala 93 peratus daripada responden yang dikaji berkata mereka sanggup berbelanja lebih sekiranya kaedah pembayaran menerusi mudah alih diterima.

Dalam masa sama, Nielsen berkata, 90 peratus daripada peniaga yang menjalani kaji selidik berkenaan di Malaysia, Singapura dan Thailand mendakwa menerima pertanyaan daripada pelanggan dari China sama ada pembayaran mudah alih diterima di kedai mereka.

“Tinjauan ini juga menunjukkan impak platform pembayaran mudah alih di seluruh dunia. Hampir 60 peratus peniaga yang ditinjau menyediakan Alipay sebagai pilihan pembayaran dilaporkan mengalami pertumbuhan di kedua-dua trafik (58 peratus) dan pendapatan (56 peratus).

“Lebih kurang 74 peratus, pelancong China menggunakan pembayaran mudah alih di Asia Tenggara terutama Malaysia, Singapura dan Thailand melebihi penggunaannya di Eropah (60 peratus) dan Amerika Utara (61 peratus),” katanya dalam kenyataan di sini baru-baru ini.

Sementara itu, Pengurus Besar Operasi Runcit Heinemann Duty Free KLIA, Alexander Mass berkata, pihaknya dapat melihat peningkatan dalam jumlah pelancong China yang tiba dan berlepas dari Malaysia.

“Sejak melaksanakan Alipay, kami kini memberi kemudahan tambahan kepada para pelanggan dari China. Didapati lebih 20 peratus daripada semua transaksi kami daripada aplikasi Alipay,” katanya.

Situasi ini menurut Pengurus Besar Perniagaan Rentas Sempadan Asia Tenggara dan Asia Selatan Alipay, Cherry Huang, telah memacu lebih banyak peniaga Malaysia merebut peluang ini dengan 70 peratus daripada vendor tempatan kini mengguna pakai sistem pembayaran mudah alih China di kedai mereka.

“Memandangkan Malaysia merupakan lokasi popular dalam kalangan pelancong China, para pedagang tempatan dan pemain industri yang memahami keutamaan ini dapat memanfaatkannya daripada pembayaran mudah alih,” katanya