Apakah yang menentukan harga ETF?

Harga pasaran ETF biasanya hampir kepada Nilai Aset Bersih atau Net Asset Value (NAV) ETF itu. Sebagai contoh, NAV dikira dengan merujuk kepada nilai pasaran sekuriti pendasar dan mana-mana pendapatan bersih yang tidak diagihkan. Walau bagaimanapun, harga ETF ditentukan oleh permintaan dan penawaran dalam pasaran. Perlu diingatkan juga bahawa harga dagangan ETF mungkin tidak sama dengan NAVnya.

Pelaburan ETF berkemungkinan mendapat dua jenis pulangan iaitu:

1. Pendapatan modal

Pelabur boleh berdagang ETF sama seperti saham dengan membelinya pada harga yang rendah dan menjualnya pada harga yang lebih tinggi untuk memperolehi keuntungan.

2. Dividen

Pengurus dana biasanya menerima dividen daripada sekuriti yang termasuk di dalam kumpulan ETF. Dividen biasanya akan diagihkan kepada pemegang unit ETF selepas ditolak yuran pengurusan.

ETF boleh digunakan sebagai alat pengurusan wang tunai di mana wang tunai boleh di­laburkan ke dalam ETF untuk pelaburan jangka masa pendek sementara menunggu keputusan untuk melaburkan wang ke dalam sesuatu pelaburan jangka panjang yang sedang dibuat.

Anda boleh mendapat manfaat daripada sifat kecairan ETF tersebut dengan membeli sesuatu ETF dan menjualnya apabila pelabur memerlukan wang tunai kemudian.

Objektif pelaburan ETF bo­leh dirumuskan sebagai berikut:

  • Diuruskan secara pasif.
  • Direka untuk menjejak pres­tasi indeks.
  • Tiada pemilihan aktif sekuriti pendasar dan peroleh­an yang dibuat oleh pengurus dana ETF.
  • Pengurus dana ETF akan mengikuti prestasi indeks pe­nanda arasnya.

Sebagai contoh, Ahmad mempunyai RM10,000 tunai. Oleh kerana keadaan ekonomi semakin teruk dan kadar faedah yang rendah, Ahmad tidak mahu wangnya berada di dalam deposit tetap yang memberikan pulangan rendah. Beliau mahu berdagang untuk keuntungan modal dalam jangka masa pendek sambil mengambil masa untuk meng­analisis pasaran untuk membuatkan keputusan mengenai pelaburan jangka panjang.

Dengan kejatuhan kadar faedah, beliau melihat potensi di dalam pasaran bon. Jus­teru beliau memutuskan untuk melabur di dalam ETF bon iaitu melabur di dalam Dana ABF Malaysia Bon Indeks. Beliau membuat keputusan tersebut selepas mengambil kira peluang daripada pelbagai pendedahan sekumpulan bon yang berdenominasi kepada ringgit yang berisiko rendah.

Indeks daripada istilah ETF terdiri daripada sekumpulan sekuriti (contohnya bon, komoditi, ekuiti) yang menunjukkan pergerakan dan perubahan dalam pasaran sekuriti tertentu. Bon pula adalah sekuriti pendapatan tetap yang dikeluarkan kepada pemberi pinjaman jangka panjang dan mempunyai tarikh matang. Ianya memberi pulangan dalam bentuk pembayaran berkala yang tetap. Maka, dengan membeli kumpulan wang atau dana ini, Ahmad akan menikmati agihan pendapatan dua kali setahun. Apabila Ahmad pasti bahawa apabila tibanya masa yang sesuai, beliau akan menjual ETF bon tersebut dan melabur dalam pelaburan yang lain pula.

Sebagai rumusan, ETF boleh membuka pelbagai peluang pelaburan yang baharu untuk para pelabur. Memasukkan ETF ke dalam portfolio pelaburan anda bukan sahaja mudah, tetapi ia juga lebih murah berbanding dengan membina sesuatu portfolio daripada pelbagai saham atau pembelian unit amanah.

Walau bagaimanapun, setiap pelaburan terdapat risiko, sama seperti saham. Pelaburan ETF tertakluk kepada turun naik pasaran. Prestasi ETF mungkin terkesan secara langsung oleh prestasi saham atau bon komponennya.

Berikut ialah senarai semasa ETF yang disenaraikan di Bursa Malaysia:

ETF Ekuiti (Konvensional):

>> FTSE Bursa Malaysia KLCI ETF (0820EA)

>> CIMB FTSE ASEAN 40 MALAYSIA (0822EA)

>> CIMB FTSE China 50 (0823EA)

ETF Ekuiti (Patuh Syariah)

>> MyETF Dow Jones Islamic Market Titans 25 (0821EA)

>> MyETF MISC Malaysia Islamic Dividend (0824EA)

>> MyETF MSCI South East Asia Islamic Dividend (0825EA)

>> MyETF Thomson Reuters Asia Pacific Ex-Japan Islamic Agribusiness (0826EA)

ETF Bon

>> ABF Malaysia Bond Index Fund (0800EA)

Untuk maklumat dan kete­rangan lanjut, sila layari www.bursamarketplace.com. Pembaca yang ingin mendapatkan pembelajaran saham boleh hubungi Cikgu Saham Zuraida melalui emel [email protected]