Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pemba­ngunan Iskandar (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim berkata, ia menjadikan jumlah pelaburan komited terkumpul sejak 2006 hingga 31 Disember tahun lalu sebanyak RM285.34 bilion.

Katanya, sehingga kini pelabur tempatan menyumbang 62 peratus atau RM194.81 bilion kepada jumlah pelaburan komited terkumpul manakala baki RM90.51 bilion atau 38 peratus lagi disumbangkan oleh pelabur asing.

Beliau berkata, lima negara dengan jumlah pelaburan komited terkumpul paling tinggi ke Iskandar Malaysia adalah China, Singapura, Amerika Syarikat (AS) dan Sepanyol.

“Iskandar Malaysia yakin aliran pelaburan pelabur domestik dan asing akan terus berkembang dari tahun ke tahun dan ini akan meningkatkan keseluruhan ekosistem di wilayah itu kerana kesan limpahan ekonomi daripada pelaburan ini akan memberi impak yang lebih tinggi kepada ekonomi dan rakyat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah beliau, Mesyua­rat Ahli-Ahli Pihak Berkuasa (MoA) IRDA ke-24 meluluskan cadangan untuk memperluaskan kawasan Pembangunan Iskandar dari 2,217 kilometer (km) persegi kepada 4,749 km persegi.

Peluasan itu menjadikan daerah Kota Tinggi, Kluang dan Pontian sebagai sebahagian daripada wilayah dalam Iskandar Malaysia.

Mesyuarat itu dihadiri Perdana Menteri yang juga Pengerusi Bersama IRDA, Tun Dr Mahathir Mohamad; Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Ismail berkata, MoA percaya dengan kawasan liputan lebih meluas, Iskandar Malaysia akan menawarkan tanah pembangunan lebih besar pada kos mampu milik.

“Dalam masa sama, ia membawa pertanian moden sebagai satu daripada sektor promosi baharu,” katanya.