Pengarah MIDA yang berpangkalan di Frankfurt, Yusri Hasnan Chu berkata, industri aeroangkasa Malaysia terus berkembang sejak kebelakangan ini, daripada RM11.9 bilion pada 2013 kepada RM13.5 bilion pada 2017.

“Industri aeroangkasa mempunyai potensi pertumbuhan besar, yang mendorong kerajaan Malaysia mempromosi perkhidmatan aeroangkasa yang boleh ditawarkan oleh negara.

“Infrastruktur aeroangkasa Malaysia, dengan kemudahan pembuatan dan perkhidmatan yang maju, menjadi tarikan utama bagi penggiat asing,” katanya kepada Bernama di pejabatnya.

Mengikut Pelan Induk Industri Aeroangkasa Malaysia 2030, pendapatan daripada industri aeroangkasa akan meningkat kepada RM55.2 bilion menjelang 2030, yang mampu menyediakan 32,000 peluang pekerjaan.

Sehubungan itu, pelan itu menetapkan sasaran untuk Malaysia menjadi hab aeroangkasa terkemuka di Asia Tenggara, dengan kedudukan yang kukuh dalam pasaran global.

Empat tunggak kekuatan industri aeroangkasa ialah dalam segmen penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), pembuatan aero, integrasi sistem dan perkhidmatan kejuruteraan dan reka bentuk.

Yusri berkata, dua industri utama, aeroangkasa dan peranti perubatan, dikenal pasti sebagai segmen pertumbuhan tinggi dalam Rancangan Malaysia ke-11 (2015-2020).

“Antara manfaat yang ditawarkan kepada pelabur dalam industri aeroangkasa Malaysia, termasuk taraf perintis dengan pengecualian cukai pendapatan sebanyak 70 peratus, atau 100 peratus selama lima hingga 10 tahun, elaun cukai pelaburan sebanyak 60 peratus atau 100 peratus perbelanjaan modal yang layak untuk lima tahun.

“Selain itu, mereka juga menikmati elaun pelaburan semula sebanyak 60 peratus ke atas perbelanjaan modal yang layak untuk 15 tahun berturut-turut, pengecualian duti import bagi bahan mentah/komponen dan mesin/peralatan,” katanya.

Malaysia kini menempatkan lebih 200 syarikat aeroangkasa terdiri daripada penggiat industri antarabangsa dan tempatan. Ini termasuk 66 syarikat yang terlibat dalam aktiviti MRO, pembinaan aero (33 syarikat), pendidikan dan latihan (25 syarikat) dan integrasi sistem, serta kejuruteraan dan reka bentuk (11 syarikat). – BERNAMA