Menurut MIDF Research, ali­ran keluar menjelang cuti hujung minggu yang panjang itu adalah yang tertinggi dalam sembilan minggu dan 40 kali ganda lebih banyak daripada minggu sebe­lumnya.

“Dana antarabangsa mendapatkan sejumlah RM18.3 juta ekuiti tempatan pada Isnin, namun kembali menjual secara perlahan-lahan dengan nilai RM41 juta pada Selasa.

“Pada Rabu, aliran keluar me­ningkat kepada RM369.9 juta, satu tahap yang tidak dilihat sejak 6 Julai lalu disebabkan kebimba­ngan Presiden Trump mengenakan tarif tambahan kepada bara­ngan import China bernilai AS$200 bi­lion (RM829 bilion),” jelas firma itu dalam nota kajian di sini hari ini.

MIDF Research berkata, rakan serantau lain yang firma itu jejaki iaitu Korea Selatan, Taiwan, India, Thailand, Indonesia dan Fi­lipina turut mengalami nasib serupa yang mengheret ringgit jatuh 6.11 peratus kepada RM4.1477 berbanding dolar Amerika Syarikat, tahap terendah dalam sembilan bulan.

Bagaimanapun jelasnya, aliran keluar sedikit berkurangan kepada RM209.7 juta pada Khamis yang membantu mengukuhkan Bursa tempatan 0.17 peratus selepas lima hari mencatatkan kerugian.

“Penjualan asing terus menyusut kepada RM61.1 juta pada Jumaat, sementara FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turut meningkat sedikit 0.03 peratus disokong oleh pemburuan murah sebelum cuti hujung minggu empat hari.

Menurut MIDF Research, aliran keluar semasa dari Bursa setakat tahun ini dianggarkan melepasi angka RM9 bilion, mengimbangi kira-kira 90 peratus jumlah aliran masuk asing sepanjang tahun lalu.

“Walau apa pun, Malaysia masih mengekalkan kedudukannya sebagai negara dengan aliran keluar asing yang kedua paling rendah dalam kalangan empat pasaran ASEAN yang kita pantau,” jelasnya.

Tambah firma itu, purata nilai dagangan harian (ADTV) dalam kalangan semua tiga kumpulan pelabur iaitu runcit, institusi tempatan dan orang asing mengalami penurunan mingguan.

“ADTV mingguan runcit turun paling tinggi dengan 25.1 peratus kepada RM850 juta, sementara ADTV pelabur asing hanya menurun 5.7 peratus, tetapi kekal di atas RM1 bilion untuk minggu kesembilan berturut-turut,” katanya.