Penganalisis Maybank Investment Bank Bhd. (Maybank IB), Wong Chew Hann berkata, pelabur asing juga melakukan jualan bersih dalam enam dari 21 hari dagangan pada Januari 2019.

Katanya, tindakan pembeli bersih itu seiring harga minyak mentah Brent yang naik 15 peratus daripada AS$53 (RM215.7) setong pada 31 Disember 2018 kepada AS$61 (RM248.2) setong pada 31 Januari 2019.

“Mesyuarat jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan pada 29 hingga 30 Januari lepas menunjukkan Rizab Persekutuan AS lebih fleksibel ke atas kadar faedah dan lembaran imba­ngan bagi mencerminkan kedudukan ekonomi dan pasaran.

“Pada akhir Januari 2019, pembelian bersih asing terkumpul sejak awal 2010 mencatat tahap yang masih lemah, iaitu sebanyak RM3.8 bilion menun­jukkan bahawa belian ekuiti a­sing bersih Malaysia akan lebih tinggi berbanding bursa serantau jika dasar ekonomi Malaysia bertambah baik dan dasar risiko berkurangan pada masa akan datang,” katanya dalam nota penyelidikan di sini hari ini.

Maybank IB mengekalkan strategi ekuiti teras yang defensif. Tinjauan utama domestik membabitkan pengumuman Keluaran Dalam Negara Kasar (14 Februari 2019) bagi tempoh suku keempat 2018 (4Q18) dan musim keputusan korporat bagi suku keempat 2018.

Tumpuan luar utama pula membabitkan perbincangan perdagangan AS dan China (tarikh akhir pada awal Mac) dan perbincangan Brexit (tarikh akhir 29 Mac).

Sementara itu, MIDF Research berkata, dana asing kembali memasuki Bursa Malaysia untuk tempoh empat minggu berturut-turut pada kadar yang lebih perlahan berbanding minggu sebelumnya.

Katanya, dana asing muncul pembeli bersih saham tempatan bernilai RM146.8 juta pada minggu lalu, berbanding RM455.1 juta minggu sebelumnya.

“Januari 2019 menyaksikan aliran masuk dana asing bersih berjumlah RM1.03 bilion atau AS$249.3 juta, aliran masuk bulanan pertama sejak September tahun lalu.

“Berbanding dengan tiga pasaran ASEAN lain, Malaysia menerima aliran masuk kedua terendah,” katanya.