Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat multinasional bidang perisian komputer itu berkata, hasil dapatan kajian bertajuk The Future of Work: Asia Pacific Study, menunjukkan para pekerja menilai keupayaan bekerja merentasi semua peranti, kebersediaan secara berterusan dan kemampuan menjalin kerjasama secara berkumpulan adalah saluran paling penting keberkesanan teknologi dalam melonjakkan produktiviti masing-masing.

Kajian membabitkan responden dari 10 negara di Asia Tenggara termasuk Malaysia dan Singapura, bertujuan meneliti peranan perubahan pekerja, penga­laman dan jentera dalam usaha transformasi di tempat kerja mereka.

Pengarah Urusan Adobe bagi Asia Tenggara, VR Srivatsan berkata, seiring era pengalaman perniagaan, kalangan organisasi di rantau itu turut mengakui bahawa keberkesanan pengalaman pelanggan adalah bergantung kepada keupayaan untuk menarik individu terbaik.

“Sehubungan itu, syarikat perniagaan memperhebatkan usaha untuk melabur dalam aspek teknologi di tempat kerja bagi memacu kecekapan dan produktiviti selain memberi pengalaman menarik untuk para pekerja.

“Asia Tenggara misalnya adalah nadi kepesatan evolusi ekonomi serta peluang pertumbuhan yang besar dengan ekonomi digital menjadi antara pemacu utamanya. Seiring peningkatan peluang di bandar-bandar utama, teknologi turut menjadi kunci bagi membantu pekerja mencatat peningkatan kerjaya serta meng­atasi cabaran perbandaran yang pesat,” katanya.

Srivatsan berkata, sejajar kedudukan teknologi yang menerajui aspek inovasi di tempat kerja, kalangan pekerja alaf baharu itu turut memacu transformasi positif bagi organisasi dengan menyemarakkan penggunaan dan penglibatan media sosial, menggalakkan pemikiran kreatif dan projek inovatif serta membentuk persekitaran lebih pelbagai dan berfikiran secara terbuka.

Kajian itu juga menunjukkan bahawa 94 peratus responden mahu terus bekerja walaupun selepas memenangi habuan se­perti loteri atas alasan untuk menyara keluarga serta tuntutan gaya hidup mereka. – BERNAMA