Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Mokhtar Samad berkata, kontraktor tempatan menerima pelbagai peluang daripada dasar berterusan kerajaan dalam merancakkan pembangunan akses sambungan elektrik.

Menurut beliau, hampir 90 pe­ratus kerja-kerja pembinaan dalam negara dilakukan oleh kontraktor tempatan sekali gus mencerminkan kebolehan mereka dalam menyampaikan per­khidmatan yang setaraf dengan negara-negara maju lain.

“Sebagai kontraktor, kami me­ngucapkan setinggi penghargaan kepada pentadbiran pusat kerana sentiasa berusaha memperbaiki akses elektrik di bandar atau luar bandar yang membuka peluang besar buat tenaga kerja tempatan untuk berkembang.

“Bukan hanya elektrik, semua usaha untuk memberikan per­khidmatan asas kepada orang ramai telah semakin cekap dan kita sentiasa bersedia menyahut cabaran baharu untuk memberikan yang terbaik,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Baru-baru ini, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr. Maximus Johnity Ongkili memetik laporan Menjalankan Perniagaan (DB) Bank Dunia 2018 berkata, kedudukan itu mengiktiraf kebolehan Malaysia dalam memastikan kemudahan pembekalan elektrik dan telus dalam penetapan tarif elektrik.

Laporan itu turut menyatakan tempoh penyambungan bekalan elektrik di Malaysia hanya mengambil masa 31 hari berbanding 78 hari di negara-negara berpendapatan tinggi Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pem­bangunan (OECD).

Sementara itu, Presiden Kon­­traktor Tenaga Malaysia (PKTM), Datuk Seri Dr. Erwan Mohd. Tahir berkata, laporan menunjukkan kontraktor yang menjalankan kerja di bawah Tenaga Nasional Bhd. (TNB) dan Suruhanjaya Tenaga (ST) adalah sangat efisien.

Beliau berkata, kerja-kerja pe­nyambungan elektrik di Malaysia adalah berpatutan, sementara proses untuk mendapatkan bekalan elektrik juga adalah sangat jelas dan teratur jika dibandingkan de­ngan negara luar.

“Kami percaya kontraktor yang terlibat dengan TNB dan ST adalah sangat cekap dalam menjalankan kerja-kerja penyambungan bekalan tenaga elektrik untuk pengguna sejajar dengan tempoh permohonan sambu­ngan hanya 31 hari sahaja.

“PKTM berharap Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), TNB dan ST menjalinkan kerjasama dengan mewujudkan bengkel latihan pada masa akan datang yang dapat memberi pendedahan lanjut tentang teknologi terkini,” katanya.

Naib Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia (Perkobf), Adnan Abdul Malek pula berkata, kedudukan itu sedikit sebanyak memberi ins­pirasi kepada Kontraktor Kelas F meskipun terhad kepada projek yang lebih kecil.

“Pelaksanaan projek elektrik me­merlukan sijil pengesahan kepakaran dan akan diawasi oleh pihak kementerian serta jabatan yang berkenaan. Tidak timbul soalan sesuka hati mahu buat projek kerana ia berpandukan kepada kepakaran.

“Bagi kontraktor kelas F, mereka boleh manfaatkan perkongsian pengalaman dan teknikal daripada kontraktor yang lebih besar kerana mereka sebenarnya terhad dan telah dikhaskan untuk projek tidak melebihi RM200,000 sahaja,” katanya.