Presiden Uniti.Asia, Datuk Jamal Mohd. Amin berkata, UnitiOffice.com merupakan satu daripada platform yang dibangunkan kumpulan termasuklah laman web e-dagang, UnitiMart dan projek pembangunan pusat beli-belah ASEAN Mall di Pattani Jaya, Thailand.

Beliau berkata, selain di Kuala Lumpur, Uniti.Asia juga telah memperkenalkan UnitiOffice.com di Jakarta, Indonesia dan berhasrat untuk mengembangkannya ke wilayah lain di Indonesia serta negara-negara ASEAN yang lain.

Katanya, konsep pejabat maya yang diperkenalkan Jun tahun lalu menawarkan perkhidmatan yang boleh dimanfaatkan oleh golongan usahawan terutamanya yang tinggal jauh dari Kuala Lumpur.

“Kita sedia maklum kos untuk mendapatkan ruang pejabat ter­utamanya di tengah-tengah ibu kota amat mahal, jadi menerusi UnitiOffice.com kita dapat membantu para usahawan terutama­nya yang baru berniaga untuk memiliki sebuah ‘pejabat’ tanpa perlu memilikinya secara fizikal.

“Ini seterusnya dapat mening­katkan imej perniagaan mereka di mata pelanggan-pelanggan yang lain,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif UnitiOffice.com, Zamri Mohd. Nawi berkata, UnitiOffice.com kini memiliki lebih daripada 100 pelanggan yang terdiri daripada usahawan terutamanya sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Katanya, perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan di pejabat maya tersebut nyata menarik minat ramai khususnya golongan muda untuk menceburi bidang keusahawanan.

“Dengan bayaran serendah RM180 sebulan, pelanggan dapat menikmati perkhidmatan seperti penggunaan alamat pejabat dan talian telefon di Kuala Lumpur, khidmat menjawab panggilan automatik, pengurusan surat serta dokumen berkaitan, penggunaan wifi dan akses kepada ‘Business Lounge’ secara percuma,” jelas­nya.

Tambah Zamri, pihaknya turut menyediakan bilik mesyua­rat serta ruang pejabat peribadi sekiranya pelanggan mahu me­ngadakan perbincangan yang lebih tertutup dengan kadar sewa yang berpatutan.

“Kami percaya perkhidmatan kami benar-benar dapat memberi manfaat kepada ahli perniagaan dan membantu memastikan mereka terus maju dalam pasaran yang semakin kompetitif,” katanya.

UnitiOffice.com yang terletak di Menara Arina Uniti, Kampung Baru Kuala Lumpur turut dilengkapi dengan kemudahan 96 petak letak kereta setinggi enam tingkat bagi kemudahan pembeli, penyewa dan para pengunjung.