Penasihat Pembangunan Keusahawanan dan Ikhtisas Wanita di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata, projek kedua itu yang dijangka beroperasi dalam tempoh dua bulan lagi bakal dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya, platform niaga buat usahawan wanita memasarkan produk mereka akan terus dikembangkan ke seluruh negara , dan beliau berharap mendapat kerjasama setiap kerajaan negeri.

“Pasarnita sebenarnya berjalan di seluruh negara tetapi kita minta biar ada tapak kekal kerana wanita pasti suka apabila mereka ada lokasi tetap dalam mempromosi dan mengembangkan perniagaan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Food Truck @ Pasarnita di Dataran Majlis Amanah Rakyat (Mara) di sini hari ini.

Yang hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman; Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Nawi Mohamad dan Pengurus Besar Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Samiun Salleh

Juga Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), Dr. Tengku Khairi A.Rahman dan Presiden Persatuan Usahawan Truck Terengganu (T-Trak), Dr. Norzila Tengah @ Abd. Rashid.

Program Food Truck @ Pasarnita anjuran kerajaan negeri dengan Pejabat Pembangunan Keusahawanan dan Ikhtisas Wanita serta Mara itu berlangsung selama tiga hari bermula semalam dengan menampilkan 15 pengusaha trak makanan. - UTUSAN ONLINE