Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), Datuk Seri Fateh Iskandar Mohamed Mansor (gambar) berkata, jangkaan tersebut sejajar dengan peningkatan positif Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan keadaan ekonomi negara yang semakin baik.

Menurutnya, hasil kaji selidik terhadap 153 ahli REHDA bagi separuh pertama 2017 mendapati 50 ke 55 peratus responden menyuarakan pendapat sama ada neutral, optimistik atau sangat optimistik terhadap potensi kuasa pembeli.

“Keadaan amat berbeza jika kita lihat pada tahun-tahun sebelum ini yang mana kebanyakan pemaju hartanah bersikap lebih pesimis terhadap pasaran hartanah.

“Oleh itu, sekiranya tiada sebarang perkara berlaku pada pasaran global secara keseluruhan, kami menjangkakan sektor hartanah pada separuh kedua 2017 dan separuh pertama 2018 akan menjadi lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam taklimat Kaji Selidik Industri Hartanah Separuh Pertama 2017 dan Prospek Pasaran Separuh Kedua 2017 serta Separuh Pertama 2018 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Presiden REHDA, Datuk Ir. Soam Heng Choon; Setiausaha Agung REHDA, Ir. Teah Oon Ling dan Bendahari Kebangsaan, Datuk Muztaza Mohamad.

Mengulas lanjut, Fateh Iskandar berkata, prestasi jualan sektor hartanah bagi separuh pertama 2017 mencatatkan peningkatan tiga peratus kepada 48 peratus berbanding 45 peratus pada separuh kedua 2016 walau pun pelancaran projek hartanah menyusut 12 peratus kepada hanya 9,089 unit berbanding 13,276 unit pada separuh kedua 2016.

Katanya, penurunan jumlah pelancaran projek tersebut di­sebabkan beberapa faktor termasuk keadaan pasaran dan ke­su­karan pembiayaan.