RANJIT AJIT SINGH
RANJIT AJIT SINGH

Petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup lebih tinggi hari ini, mening­kat 3.91 mata kepada 1,850.42 berbanding 1,846.51 semasa kali terakhir ditutup Selasa minggu lepas.

Sementara itu, nilai ringgit juga sedikit mengukuh berban­ding dolar Amerika Syarikat (AS), ditutup pada 3.9400/3.9470 daripada 3.9480/3.9530 Selasa lalu.

Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Tan Sri Ranjit Ajit Singh berkata, terdapat reaksi optimis dan tenang dalam pasaran modal yang memberi isyarat pentadbiran pimpinan kerajaan baharu adalah kukuh dengan dasar-dasar yang pro perniagaan dan pro-pasaran.

“Dengan barisan pimpinan yang bertanggungjawab dan berpengalaman, kami percaya ia akan membawa kepada unjuran ekonomi dan pasaran modal yang positif,” katanya ketika ditemui di luar Persidangan SC, Bank Dunia, Pertubuhan Antarabangsa Suruhanjaya Sekuriti (IOSCO) di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Eksekutif SC, Datuk Zainal Izlan Zainal Abidin; Pemangku Pengurus Negara Malaysia Bank Dunia, Richard Record; Ketua Pegawai Peraturan SC, Foo Lee Mei; Ketua Kewangan Islam, Persaingan dan Inovasi Bank Dunia, Abayomi A. Alawode dan Ketua Amalan Persaingan Kewangan dan Inovasi Global Bank Dunia, Jose De Luna Martinez.

Ranjit berkata, pasaran modal tempatan secara asasnya adalah berdaya tahan pada RM3.2 trilion, disokong oleh perantara yang kukuh dalam kedua-dua aspek institusi kewangan serta pengurusan dana.

“Pasaran modal domestik akan kekal tidak terjejas dalam jangka masa terdekat, kerana ia disokong oleh struktur dan asas pasaran yang mantap, selain kecairan domestik yang kukuh.

“Dalam jangka sederhana pula, kami yakin terhadap keupayaan pasaran modal untuk mengumpul dana dan menyediakan peluang pelaburan dengan kesan positif hasil dasar pentadbiran baharu,” katanya.

Mengulas pertemuan syarikat pelaburan milik kerajaan (GLIC) bersama Majlis Penasihat Kerajaan semalam, Ranjit berkata, SC bersedia untuk memberi penerangan mengenai pasaran mo­dal, jika perlu.

“Pasaran modal adalah komponen yang penting dalam ekonomi dan oleh itu, kami pastinya bersedia untuk memberikan gambaran dan pandangan mengenai aspek pasaran modal jika diperlukan.

“Tumpuan kami di SC adalah untuk memastikan pasaran modal ini kekal stabil bagi membantu pentadbiran baharu mencapai pelbagai aktiviti dasar ekonomi,” kata beliau.

Sementara itu, Record berkata, Malaysia telah beralih daripada hanya menjadi penerima pembangunan pembiayaan kepada satu daripada negara pe­nyumbang utama kepada pembangunan agenda tersebut.

“Malaysia kini mampu ber­kongsi pengalaman pembangunan terutama dalam sukuk hijau yang menjadi contoh buat banyak negara menangani perubahan iklim menggunakan instrumen kewangan,” katanya.