MUSTAPA MOHAMED
MUSTAPA MOHAMED

Enam syarikat berkenaan adalah E.A. Technique (M) Bhd., Bioalpha Holdings Bhd., Sedania Innovator Bhd., Rhone Ma Holdings Bhd., Serba Dinamik Holdings Bhd., dan Advancecon Holdings Bhd.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, se­minar berkenaan yang diadakan sejak 2011 merekodkan penyertaan lebih 300 syarikat.

“PKS merupakan kelompok perniagaan terbesar iaitu mewa­kili 98.5 peratus daripada jumlah perniagaan di negara ini dan daripada jumlah itu 76.5 peratus ialah syarikat mikro.

“PKS justeru diakui memainkan peranan penting dalam usaha merealisasikan sasaran negara berpendapatan tinggi menjelang 2020,” katanya ketika berucap merasmikan seminar IPO di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi SME Corp. Malaysia (SME Corp), Tan Sri Dr. Mohamed Al Amin Abdul Majid dan Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Bhd., Datuk Seri Tajuddin Atan.

Seminar IPO bertemakan Melangkah ke Penyenaraian adalah anjuran bersama SME Corp. Malaysia, Bursa Malaysia, MIDF Amanah Investment Bank Bhd. (MIDF Investment) dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju).

Seminar itu adalah platform kepada PKS untuk mendapatkan pemahaman tentang proses dan prosedur menyenaraikan syarikat di papan utama Bursa Malaysia.

Mustapa berkata, pa­saran Platform Pe­mecut Usahawan Utama (LEAP) yang diperkenalkan oleh Bursa Malaysia pada Julai lalu mendorong pertumbuhan PKS untuk bersaing di peringkat global.

“Pasaran LEAP yang bertujuan membantu PKS meraih dana itu turut diguna pakai di Amerika Syarikat, Korea Selatan, India dan China,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi SME Corp., Tan Sri Dr. Mohamed Al Amin Abdul Majid berkata, PKS boleh menikmati manfaat seperti meningkatkan lagi profil syarikat mereka sekiranya dise­naraikan di Pasaran LEAP di Bursa Malaysia.

Beliau berkata, Pasaran LEAP memiliki sistem dan peraturan yang memudahkan di samping pematuhan kos rendah berfungsi sebagai pendedahan awal bagi persiapan penyenaraian di Pasaran ACE atau pasaran utama.

Katanya, pasaran itu juga membantu memanfaatkan potensi nilai pemegang saham di samping memudahkan untuk melaksanakan penggabungan dan pengambilalihan.

“Pasaran LEAP akan menyediakan kepada syarikat terutamanya PKS dengan akses pengumpulan dana yang lebih besar dan peningkatan profil menerusi pasaran modal.

“Ia akan mengumpul PKS, syarikat pengantara dan penasihat dalam satu platform tunggal untuk mewujudkan pasaran kondusif bagi mengumpul dana,” katanya.