Bursa Komoditi Tokyo didagangkan rendah untuk sepanjang minggu ini, berikutan yen yang lebih kukuh berbanding dolar US, manakala niaga hadapan Shanghai menjadi lemah selepas Beijing menaikkan kadar faedah jangka pendek.

Bagaimanapun, seorang peniaga berkata, kerugian telah dihadkan sedikit oleh pemulihan dalam harga minyak selepas Amerika Syarikat mengenakan sekatan ke atas beberapa individu dan entiti Iran pada awal minggu ini.

Katanya, langkah itu diambil selepas White House membantah ujian peluru berpandu balistik Tehran.

Melangkah ke minggu depan, seorang peniaga lain memberitahu terdapat pelbagai isyarat yang menunjukkan pergerakan pasaran getah, disebabkan oleh kelemahan dalam pasaran niaga hadapan serantau dan Shanghai termasuk peningkatan harga minyak.

Katanya, para peniaga dijangka mengambil pendirian untuk tunggu dan lihat bagi melihat sebarang perkembangan dalam pasaran serantau sebelum membuat sebarang keputusan.

Pasaran ditutup pada hari Khamis bagi cuti Thaipusam.

Dari Jumaat ke Jumaat, harga fizikal rasmi Lembaga Getah Malaysia bagi gred tayar SMR 20 pada tengah hari susut tujuh sen kepada 961 sen sekilogram, manakala lateks pukal merosot sebanyak 17.5 sen kepada 795 sen sekilogram.

Harga penutup tidak rasmi bagi gred tayar SMR 20 dan lateks pukal, masing-masing sebanyak 969 sen sekilogram dan 794 sen sekilogram. - BERNAMA