ANTHONY DASS
ANTHONY DASS

Ketua Ekonomi dan Ketua Penyelidikan Ambank, Dr. Anthony Dass berkata, ini kerana pasaran ekuiti global akan melonjak tinggi dan membuat pelarasan yang me­nyaksikan hasil bon meningkat di sebalik kebimbangan inflasi, dan menjangkakan pasaran kembali stabil.

Katanya, kebimbangan utama adalah dalam pasaran membangun dengan peningkatan hutang dan ia dilihat seolah-olah mengabaikan apa yang berlaku dalam krisis hutang Amerika Latin pada 1980, krisis kewangan Asia 1997/1998 dan kesilapan Argentina pada 2000.

“Berdasarkan senario semasa, terdapat beberapa persamaan yang berlaku ketika krisis kewangan Asia walaupun tidak secara menyeluruh. Pendapat kami adalah tertumpu kepada betapa pentingnya kemasukan dana asing dalam pasaran membangun yang didorong oleh kadar pertumbuhan menarik dan inflasi rendah berbanding dekad sebelumnya yang mengekalkan kadar faedah rendah.

“Kami percaya pertumbuhan pasaran domestik yang sedang pesat membangun kekal berdaya tahan dan dengan itu menjangkakan pasaran Malaysia kembali melonjak didorong oleh minat risiko dalam beberapa bulan akan datang yang terhasil daripada ketelusan, tadbir urus dan hala tuju ekonomi yang jelas,” katanya dalam Laporan Berkaitan Hutang Malaysia dan Ketidaktentuan Pasaran di sini hari ini.

Selasa lalu, Bursa Malaysia ditutup pada paras terendah ha­rian pada 1,804.25, susut 40.78 mata daripada 1,845.03 berikutan kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, bahawa hutang Malaysia melebihi RM1 trilion yang menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pelabur.

Namun, setakat pukul 9.15 pagi ini, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 16.11 mata kepada 1,791.77.

Guan Eng berkata, hutang negara mencecah RM1.08 trilion atau 80.3 peratus berbanding KDNK setakat 31 Disember 2017 dan daripada jumlah itu, RM686.8 bilion merupakan hutang Kerajaan Persekutuan bersamaan 50.8 peratus daripada KDNK.

Kerajaan komited untuk membayar hutang Jaminan Kerajaan dalam beberapa entiti yang tidak mampu membayar hutang me­rangkumi RM199.1 bilion atau 14.6 peratus berbanding KDNK.

Jaminan kerajaan termasuk entiti seperti Danainfra Nasio­nal Bhd (RM42.2 billion), Govco Holdings Bhd (RM8.8 billion), Prasarana Malaysia Bhd (RM26.6 billion), Malaysia Rail-link Sdn Bhd (RM14.5 billion) dan 1MDB de­ngan jangkaan RM38 bilion.

Hutang itu mencecah ang­ka RM1 trilion apabila Kerajaan Persekutuan komited untuk me­lakukan bayaran pajak, termasuk sewaan, penyelenggaraan dan caj lain bagi sebahagian besar projek PPP. Ia termasuk pembinaan sekolah, asrama, jalan raya, balai polis dan hospital melibatkan jumlah hutang sebanyak RM201.4 bilion atau 14.9 peratus.

Menurut Anthony, hutang negara yang mencecah RM1.08 trilion itu menimbulkan kebimbangan sama ada pinjaman itu akan membantu meningkatkan pertumbuhan atau menjejaskan ekonomi generasi masa depan.

Katanya, kebimbangan utama adalah berikutan meningkatnya pinjaman yang dijamin kerajaan dan pembayaran semula pajakan bagi kerjasama awam swasta (PPP) yang kurang telus, yang akan mengubah jumlah hutang apabila hutang awam di bawah paras 55 peratus.

“Selain itu, ketidakupayaan mengurangkan perbelanjaan operasi boleh membawa kepada keperluan untuk meningkatkan kutipan hasil dan memacu KDNK untuk membantu meningkatkan nisbah hutang kepada KDNK dan kedudukan baki fiskal.

“Hutang awam yang tinggi menyebabkan lebih banyak per­belanjaan untuk membayar faedah pinjaman dan dengan itu ia akan menarik sumber-sumber yang ada, yang dizahirkan dalam nisbah perbelanjaan operasi dan pemba­ngunan kepada hutang yang rendah pada 0.20x dan 0.04x masing-masing tahun lalu daripada setinggi 0.50x dan 0.14x pada 2008, terendah sejak 1988,” katanya.

Beliau berkata, selain merendahkan hutang awam, servis hutang dan penggunaan kerajaan bagi meningkatkan pertumbuhan, tumpuan juga perlu diberikan kepada menambahbaik pemantauan perbelanjaan ke atas akti­viti ekonomi terutama di pe­ringkat mikro dan ketelusan yang lebih tinggi terhadap pinjaman yang dijamin kerajaan di bawah PPP yang mungkin bukan di bawah tanggungjawab fiskal.