Maka persiapan meliputi segala aspek perlu dilakukan. Tetapi apakah perkara atau kelengkapan penting yang menjadi keutamaan sebelum dan semasa tempoh berkenaan?

Untuk memulakan pengembaraan itu, kita perlu teliti dan kaji secara terperinci pelbagai aspek lebih-lebih lagi aspek cuaca yang kadangkala tidak sesuai dengan kesihatan kita.

Kita tidak mahu ada sebarang gangguan sehingga menyebabkan ia menjadi igauan buruk dan kerugian.

Di sini mungkin ada sedikit perkongsian panduan ber­ke­naan beberapa negara pernah saya lawati yang saya akan ceritakan kemudian. Untuk permulaan saya akan ceritakan persediaan yang biasa saya lakukan untuk tempoh antara 18 hari sehingga tiga bulan perjalanan. Kebiasaannya ada beberapa perkara yang saya akan teliti antaranya:

1.Senarai barangan keperluan asas

Perkara utama yang perlu diberi perhatian. Jangan hanya kerana satu barang lupa dibawa maka segalanya huru hara. Selidik dahulu keadaan di sesebuah negara terutama daripada segi cuaca, budaya dan kesesuaian. Ada negara yang agak sensitif dalam hal ini. Malah ancaman juga boleh datang hanya kerana pakaian lebih-lebih lagi bagi golongan pelancong wanita yang mahu ke India. Anda mesti selidik tempat yang ingin dilawati. Mungkin anda perlu menyediakan pakaian untuk aktiviti pendakian semasa ke sana nanti. Selain itu, penjagaan diri seperti sabun dan syampu serta perkakas lain antara benda yang paling penting kerana ia bukan hanya disebabkan kebersihan semata-mata, tetapi faktor penjimatan kerana harganya agak mahal di sesete­ngah negara.

2.Beg

Bergantung kepada setiap individu. Ada yang lebih suka menggunakan beg beroda atau ada juga yang suka menggunakan ‘backpack’. Saya lebih gemar menggunakan ‘backpack’ kerana selesa dengan sistem sokongan tulang belakang. Saya juga mudah untuk bergerak ke mana sahaja dan ia sesuai untuk percutian santai atau mengembara ke kawasan pedalaman. Saiz bergantung kepada tempoh masa dan barangan. Cukup sekadar menggunakan beg bersaiz 35 liter untuk seminggu atau 65 liter untuk lebih dua minggu perjalanan.

3.Peranti

Telefon bimbit, ‘notebook’ atau iPad, soket (bergantung kepada negara) pengecas dan juga ‘pendrive’. Ada juga kawan saya yang hanya cukup sekadar menggunakan telefon untuk mengambil gambar dan ada juga yang menggunakan kamera canggih. Terpulanglah lebih-lebih lagi banyak aplikasi yang boleh membantu anda edit gambar menjadi lebih cantik.

4.Ubat

Ada yang bertanya perlukah dibawa ubat? Jawapannya ya jika anda pergi untuk tempoh masa yang lama dan tidak mengambil apa-apa insurans. Sekurang-kurangnya bawalah sedikit ubat sebagai persediaan jika demam atau selesema. Anda pasti tidak mahu pengembaraan terganggu atau mengeluarkan lebih perbelanjaan semata-mata mendapatkan rawatan hanya disebabkan demam atau selesema sahaja.

5. Insurans

Bergantung kepada negara yang anda bakal lawati. Jika mahu lebih selamat dan tidak mahu ambil risiko ada baiknya anda ambil sahaja insurans kerana banyak perkara yang tidak dijangka boleh berlaku semasa dalam perjalanan.

Mulai hari ini, kami memperkenalkan kolum baharu Pasport Utusanbiz yang digarap daripada pengalaman kembara wartawan Utusan Malaysia MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI khusus mengetengahkan persediaan yang perlu dibuat seperti tukaran wang asing, peralatan dan sebagainya sebelum melancong. – Pengarang Berita Ekonomi