Ini disebabkan pelaburan dan perdagangan saham merupakan satu bentuk pelaburan yang berisiko jika tersilap dalam membeli saham-saham syarikat tersenarai di Bursa Malaysia. Terdapat beberapa jenis saham yang tersenarai di Bursa Malaysia yang terdiri daripada berbagai sektor dan harga.

Pelaburan atau perdagangan di pasaran saham bukan skim cepat kaya. Ia memerlukan kepakaran, kemahiran, kecekapan dan sebagainya untuk membuahkan hasil. Ia juga berbeza dengan lain-lain bentuk pelaburan contohnya pelaburan hartanah.

Telitikan jenis saham

Sebagai contoh, sekiranya seseorang itu tersilap membeli sesuatu jenis saham, wang pelaburan berpotensi hilang sekiranya dia tidak sempat menjual saham yang telah dinyah senarai dari papan Bursa Malaysia.

Pelabur dan pedagang saham juga perlu berhati-hati dan membuat kajian sekiranya ingin membeli saham-saham bertanda, waran yang hampir tamat tempoh penyenaraian, waran berstruktur dan terbitan hak.

Pelabur dan pedagang saham perlu tahu kenapa mereka ingin membeli saham-saham tersebut sama ada untuk pelaburan jangka masa singkat atau panjang termasuk mempunyai matlamat kenapa mereka memilih sesuatu saham untuk dibuat pelaburan jangka masa singkat mahu pun panjang.

Sekiranya pelabur dan pedagang saham tidak faham atau tidak tahu sebab kenapa mereka ingin membeli sesuatu saham syarikat tersenarai, lebih baik tidak meneruskan niat untuk membeli saham tersebut. Bertanya dahulu atau minta pendapat penasihat pelaburan yang bertauliah tentang senarai saham yang ingin dibeli.

Mulakan dengan RM500

Untuk memulakan pela­buran saham atau sekiranya ingin menambah ilmu pelaburan mahupun perdagangan saham, sebaik-baiknya mula dengan menghadiri pembelajaran saham yang percuma atau yang yurannya tidak lebih daripada RM500.

Selepas tamat hadir kelas atau bengkel pendidikan saham, mulakan dengan membuka akaun urus niaga saham dan aktifkan juga urus niaga dalam talian. Dengan ini, pelabur dan pedagang newbie boleh melihat pergerakan saham hanya dari telefon bimbit.

Walaupun begitu, untuk membuat pembacaan carta pergerakan saham, menggunakan komputer riba adalah lebih sesuai lebih-lebih jika ingin membuat kajian saham serta melukis carta aliran pergerakan saham untuk meramal pergerakan sesuatu kaunter.

Pelabur dan pedagang saham baharu boleh memperuntukkan masa selama enam bulan hingga satu tahun untuk membiasakan diri terlebih dahulu melihat turun naik harga saham. Tidak perlu memerhatikan turun naik pasaran saham sepanjang hari, memadai melihat jika mempunyai masa terluang. Masa yang diperuntukkan melihat pergerakan pasaran hanya 15 minit sahaja.

Dalam tempoh ini, tidak perlu masuk pasaran dahulu. Ini merupakan tempoh berpantang bagi pelabur dan pedagang newbie. Atau tempoh persediaan sebelum memulakan pelaburan sebenar.

Elak terpengaruh media sosial

Oleh kerana media sosial menjadi semakin popular dalam kalangan pelabur dan pedagang masa kini, anda boleh membaca apa yang ditulis di media sosial tetapi perlu mengawal diri dari terpengaruh atau terikut-ikut dengan kenyataan yang ditulis di media sosial.

Tempoh enam bulan hingga satu tahun ini juga membolehkan seseorang untuk membuat persediaan dari segi mengumpul duit yuran kelas pembelajaran saham lanjutan dan juga modal pelaburan.

Dalam tempoh enam bulan hingga satu tahun ini, sudah tentu anda melihat bermacam-macam peristiwa yang berlaku di dalam pasaran saham termasuk turun naik pasaran dan perubahan harga saham. Ini termasuk juga siri-siri kejatuhan atau rally pasaran.

Belajar lagi

Sekiranya anda telah melihat dan terbiasa dengan pergerakan turun naik pasaran dan telah mula rasa tertarik atau berminat untuk menceburi bidang pelaburan atau perdagangan saham, barulah pergi hadir kelas atau bengkel saham sete­rusnya atau peringkat lanjutan yang mengajar cara bagaimana untuk membeli, bila nak jual, bila nak cut loss dan sebagainya. Termasuk juga penekanan tentang penggunaan analisis teknikal dan fundamental.

Dalam tempoh enam bulan atau satu tahun ini juga bakal pelabur dan pedagang sudah mula menyimpan untuk menghadiri kelas saham yang lebih mahal harganya dan modal pelaburan semakin bertambah.

Tempoh enam bulan atau satu tahun ini mengajar untuk bersabar, menahan diri, mengawal emosi dan berdisiplin.

Semasa pasaran naik atau turun, anda dapat melatih dan menahan diri untuk tidak memasuki pasaran walaupun ramai orang yang kegembiraan kerana meraih keuntungan pada masa pasaran naik kerana anda berada di dalam tempoh berpantang.