Pergi ke mana-mana restoran juga televisyen dijadikan bahan hiburan sementara menunggu hidangan sampai. Kuasa visual ini mampu menarik perhatian kita untuk melihatnya.

Pengalaman saya sendiri sebelum mempunyai syarikat sendiri iaitu Syarikat Rimbun Sekebun, saya telah bersama dengan sebuah organisasi diberi nama Kebun Bandar mendapat panggilan untuk bersiaran langsung di TV Al-Hijrah.

Saya sendiri tidak pernah sangka akan dipanggil untuk bersiaran di kaca televisyen buat pertama kalinya. Bidang yang saya ceburi ini memerlukan saya untuk lebih banyak berinteraksi di khalayak.

Kami diminta untuk ber­kongsi panduan berkebun di rumah bagi mereka yang mahu berjinak-jinak di dalam bidang ini.

Saya bukanlah seorang yang mahir atau suka bercakap di hadapan orang ramai apatah lagi di kaca televisyen secara langsung ini. Namun saya mencabar diri saya untuk lakukan jua hal ini. Hati kecil saya sering bercakap kepada diri sendiri, “Sampai bila aku harus berada di tempat yang sama”.

Justeru itu, saya memberanikan diri untuk bercakap di hadapan orang sehinggalah saya di panggil oleh TV Al-Hijrah.

Peluang ini tidak saya tolak dan sia-siakannya tetapi saya ambil ianya sebagai satu ruang supaya saya boleh berinteraksi dengan orang yang masih tercari-cari penyelesaian untuk mereka yang suka berkebun di rumah.

Kira-kira saya sudahpun empat kali bersiaran secara langsung di TV Al-Hijrah segmen Assalamualaikum untuk slot Agrotani.

Selain itu, saya juga menjadi introducer kepada rakan-rakan yang lain jika mereka mempunyai idea atau perkongsian menarik untuk tontonan di rumah.

Antara panduan yang boleh saya kongsikan apabila berhadapan dengan media:

Anggap semua orang tidak tahu

Semasa kita diminta untuk berkongsi sesuatu panduan atau cara, kita tidak boleh menganggap yang para penonton mengetahui akan semua perkara. Kita perlulah memberikan informasi yang lengkap dan terperinci sekiranya kita menunjukkan cara-cara sesuatu kaedah atau proses yang berkaitan.

Penggunaan bahasa yang mudah difahami

Kita tidak boleh terlalu baku atau menggunakan bahasa yang orang tidak faham. Walaupun kita mengetahui perkara tersebut. Contohnya, saya mempunyai latar belakang di dalam bidang pertanian dan kebanyakan penggunaan bahasa lebih kepada saintifik tetapi saya perlu mengelakkan menggunakannya secara terus.

Saya perlulah mentafsirkan juga penggunaan bahasa saintifik tersebut kepada bahasa yang orang mudah faham.

Bersahaja dan santai

Jangan menunjukkan postur badan yang terlalu kekok dan keras. Apabila berada di hadapan kamera, anggap yang kita hanya bersama hos atau krew, walaupun hakikatnya lebih puluhan ribu orang yang sedang menonton di rumah ketika itu. Sememangnya kita tidak menyangka ramai orang sedang menonton kita di rumah.

Tetapi setelah habis bersiaran langsung, laman media sosial seperti Facebook Fanpage akan meningkat pengikutnya kesan daripada kemunculan kita di kaca televisyen.

Fokus dengan apa yang mahu disampaikan

Kunci utama kita bersiaran langsung adalah untuk meme­nuhi slot Agrotani. Jadi jangan lari daripada tajuk kerana terlalu asyik bersembang dengan hos ketika itu. Penonton di rumah mahukan info dan panduan untuk mereka gunakan. Tambahan lagi, bagi kebanyakan penonton, mereka menganggap sesiapa yang memasuki televisyen adalah individu yang sudah mempunyai kedudukan yang tinggi atau berpangkat di dalam industri.

Ambil peluang untuk membuat pemasaran percuma

Semasa berkongsi panduan atau kaedah, kita dibenarkan untuk mempamerkan talian untuk dihubungi seperti nombor telefon, laman sosial atau e-mel syarikat. Jangan lepaskan peluang ini kerana penonton di rumah ingin mudah menghubungi kita jika memerlukan khidmat bekalan produk atau servis yang kita tawarkan.

AMIRAH SOLEHAH SHOKRI adalah Alumni Bacelor Sains Hortikultur, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia