Pameran selama dua hari ini diisi dengan aktiviti mencuba kopi, aksi barista, persembahan seni latte serta pameran daripada kira-kira 20 pengusaha kopi dari Indonesia.

Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Rusdi Kirana berkata, Indonesia sebagai negara pengeluar kopi ketujuh terbesar dunia berminat untuk meneroka peluang kerjasama dengan Malaysia dalam industri kopi dan teh.

Kata beliau, pameran kali ini merupakan kali kedua diadakan dalam tempoh setahun serta kopi dan teh dipilih sebagai tema pameran kedua ini melihat kepada potensi komoditi tersebut yang semakin popular di seluruh dunia.

“Indonesia merupakan salah satu negara pengeluar dan pengeksport kopi terbesar dunia dengan kira-kira 90 peratus daripada produk industri ini dihasilkan oleh pengusaha kecil-kecilan.

“Melihat fenomena kopi yang semakin popular, terutamanya di Kuala Lumpur, adalah penting untuk Indonesia terus meneroka peluang kerjasama bersama Malaysia dalam industri ini,” katanya ketika merasmikan pameran tersebut.

Yang turut hadir, Pengerusi Lembaga Penasihat AKSI, Delima Hasri Darmawan, Pengerusi AKSI, A. Syafrudin serta Duta Besar dari Venezuela, Azerbaijan, Mauritius, Namibia, Argentina dan Timor Leste ke Malaysia. - UTUSAN ONLINE