Menurut laporan daripada Moët Hennessy-Louis Vuitton (LVMH), kelembapan ekonomi susulan ketegangan di antara China dan Amerika Syarikat (AS) tidak menggugat sepenuhnya perniagaan segmen peruncitan mewah berkenaan.

Bukan sahaja beg Louis Vuitton, jenama champagne yang juga dimiliki oleh LVMH, Dom Perignon dan pengendali kasino di Macau merekodkan pres­tasi jualan yang sama, lapor Bloomberg.

LVMH berkata, prestasi jualan memberangsangkan direkodkan di destinasi utama pelancongan termasuk Hong Kong dan Macau.

"Operasi LVMH di semua kawasan geografi di seluruh dunia berkembang dengan baik apabila mencatatkan peningkatan 10 peratus dalam jualan pada suku ketiga.

"Pengguna China menyumbang sebahagian besar pertumbuhan untuk perniagaan mewah ini," katanya di sini hari ini.

Peningkatan jualan dalam segmen peruncitan mewah itu dalam masa sama membantu mengimbangi senario suram di bilik pameran BMW dan Mercedes serta pejabat hartanah mewah.

Isi rumah China juga tidak memberi sokongan terhadap barang berharga tinggi yang lain seperti Jaguar Land Rover.

Jenama British yang dimiliki oleh Tata Motors Ltd. itu mela­porkan jualan di China merosot sebanyak 46 peratus pada bulan lepas di tengah-tengah ketidaktentuan perubahan duti import dan ketegangan perdagangan.

Segmen fesyen walau bagaimanapun mencatatkan pres­tasi lebih baik, Chow Tai Fook Jewellery Group Ltd., peruncit barang kemas terbesar di dunia dari segi perolehan meraih pertumbuhan jualan dua angka di China dan Hong Kong bagi tiga bulan berakhir Jun lalu. – AGENSI