Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof berkata, Noripah juga merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif CIMB-Principal Islamic Asset Management Sdn. Bhd. dan Ketua Pegawai Eksekutif CIMB-Principal Asset Management Sdn. Bhd..

"Beliau kini memegang jawatan Ahli Lembaga Pengarah BIMB Investment Management Berhad dan Top Glove Corporation Berhad dan menjadi Pengerusi bersama Majlis Industri Kewangan Islam, Dewan Perniagaan Malaysia Amerika yang berpusat di Washington DC, Amerika Syarikat.

"Datuk Noripah juga merupakan bekas Presiden Malaysian Futures Brokers Association (MFBA) dan kini menjadi Ahli Jawatankuasa Rayuan Pusat Penyelesaian Industri Sekuriti, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Noripah Kamso
Noripah Kamso 

Perlantikan Noripah itu adalah bagi menggantikan Tan Sri Shukry Mohd. Salleh yang disingkirkan daripada jawatan berkenaan berikutan keterlibatan dalam Laporan Asal Audit 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Selain itu, Mohd. Redzuan turut mengumumkan pelantikan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan, Wan Suraya Wan Mohd. Radzi sebagai Ahli Lembaga Pengarah Bank Rakyat yang baharu.

Pelantikan Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah Bank Rakyat yang baharu itu katanya, adalah berkuatkuasa serta merta selaras dengan kuasa yang diperuntukkan kepada Menteri Pembangunan Usahawan di bawah sub perenggan 1(2) Jadual Pertama, Akta Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Peruntukan Khas) 1978 Akta 202.

"Pelantikan Ahli-ahli Lembaga Pengarah Bank Rakyat baharu yang lain akan diumumkan sebaik sahaja dimuktamadkan, tertakluk kepada proses penentusahan 'layak dan sesuai' oleh Bank Negara Malaysia selaras dengan seksyen 6 Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002 Akta 618," katanya. - UTUSAN ONLINE