Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Fresenius Medical Care Asia Pasifik, Harry De Wit berkata, ini selaras dengan pembukaan kilang di Taman Perindustrian Enstek di sini yang bakal menjadi hab pengeluaran utama syarikat itu di Asia.

Menurutnya, kilang tersebut menghasilkan produk beg Peritoneal Dialysis (PD) yang lebih efisien kepada pesakit buah pinggang untuk mendapatkan rawatan dialisis.

“Ini merupakan fasa pertama pelaburan dan rancangan pembangunan kami di sini. Kilang ini mempunyai kapasiti pengeluaran kira-kira lima juta beg larutan khusus untuk mencuci buah pinggang menerusi tiub khas dalam tempoh setahun.

“Untuk fasa-fasa berikutnya, kapasiti pengeluaran dijangka berkembang kira-kira 25 juta beg dengan peluasan fasiliti di kilang ini secara berperingkat-peringkat,” katanya ketika berucap dalam majlis perasmian kilang pembuatan serantau FMC di sini hari ini.

Majlis perasmian itu telah di­sempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Seri Dr. Chen Chaw Min.

Menurut Harry, produk PD yang dihasilkan di sini juga akan dieksport ke negara-negara di rantau Asia Tenggara dan beberapa negara di Asia Selatan.

Katanya, syarikat itu telah beroperasi di negara ini sejak dua dekad lalu dengan jumlah kakitangan seramai 400 orang dan kilang di Nilai adalah yang ke-38 dibuka di seluruh dunia.

“Bagi pasaran di seluruh du­nia, syarikat kami mengendalikan 3,700 klinik dialisis dengan pesakit seramai 310,000 orang dan 47 juta rawatan dialisis setiap tahun,” katanya.

Sementara itu, Chaw Min berkata, FMC melalui ‘Projek Wau’, iaitu projek membangunkan penyelesaian dialisis di Malaysia mengeluarkan produk utama iaitu hemodialisis berkualiti dan larutan PD yang dihasilkan daripada teknologi terkini.

“Nilai keseluruhan pelaburan Projek Wau dianggarkan lebih daripada RM260 juta, dengan potensi menjana simpanan penggantian import sekitar RM600 juta kepada sistem penjagaan kesihatan negara,” ujarnya.