Berdasarkan laporan kajian oleh Jabatan Perangkaan, purata gaji dan upah bulanan turut berkembang dengan kadar 8.1 peratus kepada RM2,880 berbanding RM2,657 pada tempoh sama tahun sebelumnya.

“Mengikut jantina, median gaji dan upah bulanan bagi ke­dua-dua pekerja lelaki dan perem­puan mencatatkan pertumbuhan tinggi iaitu masing-masing de­ngan 8.2 peratus dan tujuh peratus.

“Dari segi purata gaji dan upah bulanan, pekerja perempuan merekodkan kadar pertumbuhan yang lebih tinggi iaitu 9.1 peratus, manakala pekerja lelaki pada 7.5 peratus,” jelasnya dalam nota kajian di sini hari ini.

Survei gaji dan upah dilaksana­kan setiap tahun oleh Jabatan Perangkaan melalui pendekatan isi rumah yang dijalankan secara pensampelan berkebarangkalian meliputi semua negeri di seluruh Malaysia.

Ia adalah penerbitan yang membentangkan statistik utama gaji dan upah warga Malaysia iaitu median serta purata gaji dan upah bulanan mengikut ciri-ciri demografi dan sosioekonomi iaitu jantina, kumpulan umur, kumpulan etnik, pencapaian pendidikan, sijil tertinggi diper­­o­leh, strata, negeri, pekerjaan dan industri.

Pekerja bergaji yang ditakrifkan dalam survei terbabit adalah seseorang yang bekerja sekurang-kurangnya enam jam sehari atau 20 hari sebulan.

Penerima gaji dan upah yang direkodkan pada 2017 adalah seramai 8.7 juta orang, lebih tinggi berbanding 8.4 juta pada 2016.

Menurut laporan tersebut lagi, nilai median serta purata gaji dan upah bulanan untuk pekerja berpendidikan tertiari kekal tinggi, tumbuh masing-masing pada kadar tiga peratus dan 7.7 peratus.

“Sementara itu, median serta purata gaji dan upah bulanan bagi pekerja berpendidikan rendah dan tiada pendidikan rasmi masih merekodkan kadar pertumbuhan dua digit,” jelasnya.

Laporan itu turut mendapati kadar pertumbuhan penengah gaji dan upah bulanan bagi pekerja di bandar meningkat 6.6 peratus setahun kepada RM2,260, manakala median gaji dan upah bulanan di luar bandar naik 3.6 peratus.

“Pertumbuhan bagi purata gaji dan upah pekerja di kedua-dua kawasan bandar dan luar bandar adalah lebih tinggi masing-masing pada 7.7 peratus dan 6.3 peratus,” jelasnya.