Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking berkata, jumlah tersebut merupakan peningkatan sebanyak 17.7 peratus berbanding Oktober 2017.

“Eksport utama negara yang menyumbang kepada pertumbuhan ini adalah dalam sektor elek­trik dan elektronik, petroleum, kimia, besi dan kelapa sawit.

“Antara faktor yang me­nyumbang kepada pencapaian ini adalah keyakinan pasaran antarabangsa terhadap produk keluaran negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke pejabat Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Teluk Danga di sini hari ini. Turut hadir, Ketua Eksekutif IRDA, Datuk Ismail Ibrahim.

Selain negara rantau Asia Tenggara, produk keluaran negara turut mendapat permintaan bagi pasaran Eropah, China, Amerika Syarikat (AS), Australia, Korea Selatan, Taiwan, Hong Kong dan Arab Saudi.

Lebihan dagangan melonjak 63.1 peratus kepada RM16.32 bilion, merupakan lebihan dagangan tertinggi dicatatkan setakat ini. Lebihan ini merupakan lebihan dagangan yang ke-252 bulan berturut-turut sejak November 1997.

China kekal sebagai destinasi eksport utama Malaysia pada Oktober 2018, dengan jumlah perdagangan berkembang kepada RM29.71 bilion daripada RM11.37 bilion pada Oktober 2017 diikuti Singapura (RM13.37 bilion daripada RM11.30 bi­lion), AS (RM8.63 bilion daripada RM8.02 bilion), Hong Kong (RM7.32 bilion) daripada RM5.15 bilion) dan Jepun (RM6.61 bilion daripada RM6.0 bilion).

Menurut Darell, eksport ter­tinggi negara bagi Oktober 2018 dalam pasaran Asia Tenggara adalah ke Singapura iaitu sebanyak RM13.37 bilion, diikuti Thailand (RM5.89 bilion) dan Vietnam (RM3.09 bilion).

“Nilai import negara bagi Oktober tahun ini meningkat sebanyak 11.4 peratus iaitu RM80.05 bilion berbanding bulan sebelumnya,” katanya.