Menurut beliau, sumbang­an golongan usahawan kepada pertumbuhan negara melalui inovasi, kreativiti dan kesediaan mereka menghadapi risiko, adalah tidak ternilai.

“Usahawan adalah asas kepada ekonomi pengetahuan dan pen­ting untuk membantu mencapai matlamat kita menjadi negara berpendapatan tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pelancaran Komuniti Keusahawanan Global (GECommunity) yang julung-julung kali diwujudkan, oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, di luar Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) ke-12 di sini hari ini.

Inisiatif tersebut dikelolakan oleh Pejabat Pembangunan Ke­usahawanan Nasional (NEDO) di bawah Kementerian Kewangan dan dianjurkan oleh Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) yang disokong oleh Pergerakan Keusahawan Global (GEM).

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi WIEF, Tun Musa Hitam dan Ketua Pegawai Eksekutif MaGIC, Ashran Ghazi.

Mohd. Irwan berkata, menerusi GECommunity, ia bertujuan mencipta jaringan usahawan global yang berorientasikan kepada perkembangan usahawan ang dapat memberikan sumbangan kepada inovasi, pekerjaan dan ekonomi.

Menurutnya, Malaysia memiliki sejarah keupayaan melahirkan usahawan yang berjaya dan telah terbukti yang kita iktiraf mereka daripada segi kesungguhan dan komitmen.

“Oleh itu, kita tahu generasi muda dan masa depan kita mempunya keupayaan untuk melakar kejayaan juga.

“Malaysia tidak teragak-agak dalam melakukan pelaburan besar bagi mengalakkan lebih ba­nyak keusahawanan diwujudkan menerusi kreativiti dan inovasi. Menerusi GECommunity, kami membawanya ke tahap seterus­nya,” ujar beliau.

Menurut beliau, GECommunity akan mengalakkan kolaborasi merentas sempadan dan pembangunan ke hadapan sesebuah ekonomi baharu.

“Ia akan terbina di atas jalinan kerja sedia ada bagi menyokong, mempromosi, mengantarabangsa dan menyambungkan usahawan berpangkalan di Malaysia dengan seluruh dunia dan meletakkan Malaysia sebagai had idea bagi usahawan di seluruh dunia.

“Kita juga menggalakkan mereka untuk datang ke Malaysia bagi berkongsi pengetahuan, mereka cipta semula masa hadapan keusahawanan bersama-sama dan menjalin perkongsian dengan pihak lain dalam pembangunan rumusan-rumusan yang akan memacu ekonomi yang semakin digital dan baharu ini,’’ jelasnya. – UTUSAN