Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Naza Corp Holdings Sdn. Bhd., Datuk Samson Anand George berkata, DS 5 diperkenalkan dengan identiti tersendiri yang baharu iaitu muncung hadapan yang lebih menarik serta stail yang lebih bersifat avant garde.

“DS 5 yang baharu ini digerakkan dengan enjin 1.6 liter berkuasa turbo dengan gabungan kitaran penggunaan bahan api yang lebih baik iaitu pada 5.9 kilometer (km) seliter dengan pelepasan karbon dioksida sebanyak 135 gram setiap kilometer.

“Model terbaharu ini didatangkan dengan jaminan lima tahun atau sehingga 120,000 km yang mana datang dulu, termasuk bantuan tepi jalan selama 24 jam dan akses eksklusif ke Sky Lounge Lapangan Terbang Subang oleh Naza,” katanya dalam kenyataan di sini baru-baru ini.

DS 5 dijual pada harga RM198,888 dengan pilihan warna Artense Grey, Noir Perla Nera, Bleu Encre, Pearl White dan Whisper Purple. – BERNAMA