Pengarah lain yang turut meletak jawatan adalah Datuk Seri Nazir Razak, Datuk Dr. Nirmala Menon, Tan Sri Mohamed Azman Yahya, Datuk Mohammed Azlan Hashim, Yeo Kar Peng, Tan Sri Andrew Sheng Len Tao dan Tan Sri Raja Arshad Raja Uda.

Khazanah menjelaskan peletakan jawatan secara besar-besaran itu adalah bagi memudahkan cara peralihan yang lancar dan teratur oleh kerajaan baharu.

Tindakan berkenaan menimbulkan reaksi berbeza penganalisis yang bimbang akan kesinambungan sayap pelaburan negara itu, serta tidak kurangnya yang meng­anggapnya sebagai perkara biasa di negara yang mengalami pertukaran kerajaan.

Ini kerana, Khazanah merupakan antara agensi pelaburan terpenting negara dengan portfolio merentasi pelbagai sektor dan industri, seperti memiliki sejumlah pegangan dalam Tenaga Nasional, Telekom Malaysia, Axiata Group, CIMB Group, Malaysia Airports Holdings dan IHH Healthcare.

Punca

Mengikut kronologi, keputusan meletak jawatan itu dibuat beberapa minggu selepas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengkritik Khazanah kerana dianggap menyimpang daripada tujuan asal penubuhan untuk membantu bumiputera.

The Star turut melaporkan, Azman telah beberapa kali cuba bertemu Dr. Mahathir mengenai isu berkaitan, namun beliau tidak berpeluang untuk berjumpa Perdana Menteri yang sebaliknya membuat kenyataan berasingan mengkritik Khazanah.

Selang beberapa hari selepas peletakan jawatan, The Straits Times yang berpangkalan di Singapura mendedahkan kritikan Dr. Mahathir itu berpunca daripada kerugian pelaburan Khazanah bernilai RM3 bilion di Eropah pada pertengahan 2008.

Pada 1 Ogos, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, beberapa polisi pelaburan termasuk melabur RM80.9 juta di syarikat pakaian dalam menjadi sebab kerajaan merasakan Khazanah perlu diperbetulkan.

Sejauh mana laporan ber­kenaan menjadi punca kritikan masih tidak dapat dipastikan kerana Dr. Mahathir tidak menyatakan secara jelas mengapa beliau bersikap dingin terhadap Khazanah.

Sebelum ini, kredibiliti Khazanah turut tercalar apabila Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengesahkan laporan yang mendakwa sayap pelaburan itu membayar komitmen hutang 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) bernilai RM1.2 bilion.

Kelangsungan

Susulan itu, kerajaan pada 30 Julai mengumumkan pelantikan lima ahli lembaga pengarah Khazanah baharu dengan Dr. Mahathir sebagai Pengerusi dan Azmin sebagai seorang daripada Pengarah, kedua-duanya merupakan menteri Kabinet.

Turut dilantik sebagai Pengarah Ahli Majlis Penasihat Kerajaan, Tan Sri Mohd. Hassan Marican; bekas Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia, Dr. Sukhdave Singh dan Pengerusi Maybank Asset Management Group Bhd., Goh Ching Yin.

Sementara itu, pelantikan bagi jawatan pengarah urusan Khazanah akan diumumkan tidak lama lagi bagi mengisi kelompangan pengurusan tertinggi sayap pelaburan negara tersebut.

Barisan kepimpinan baharu itu dilihat sangat kukuh kerana terdiri daripada tokoh ternama dalam dunia korporat yang dilihat akan mengemudi hala tuju perniagaan Khazanah dengan baik termasuk mengembangkan portfolio pelaburannya.

Untuk rekod, Dr. Mahathir sen­diri merupakan pengasas Kha­zanah pada 1994 dan individu penting dalam membina sayap pelaburan negara itu menjadi antara agensi utama kerajaan ketika berkhidmat sebagai Perdana Menteri Keempat.

Ya, tidak dinafikan wajah baharu menerajui Khazanah mungkin dapat menyaksikan kepakaran, idea dan pendekatan lebih holistik bagi memacu nilai mapan dan memupuk budaya berprestasi tinggi yang menyumbang kepada daya saing ekonomi.

Persoalan

Namun, terdapat pihak yang mempersoalkan tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana memungkiri manifesto ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) apabila melantik ahli lembaga pengarah Khazanah dalam kala­ngan ahli politik.

Ini bertentangan dengan akujanji kerajaan yang berikrar memastikan ahli lembaga pengarah dalam syarikat milik kerajaan (GLC) nasional dan negeri dalam kalangan golongan profesional, dan bukan berdasarkan kaitan politik.

Sekalipun kerajaan mahu me­lantik ahli politik ke lembaga pengarah Khazanah, mengapa Menteri Kewangan seolah-olah dipinggirkan memandangkan sa­yap pelaburan negara itu dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan.

Selain itu, kerajaan juga seperti lebih suka mencanangkan cerita buruk tentang kerugian Khazanah, sedangkan bukankah sesuatu pelaburan itu tidak semestinya akan memberikan pulangan. Namanya pun pelaburan, ada ketika untung dan ada rugi.

Jika dilihat secara keseluruhan, Khazanah sebenarnya terlibat secara aktif dalam aktiviti pelaburan dengan asetnya mencecah RM157 bilion, meningkat daripada RM60 bilion sejak 14 tahun Azman mengambil alih tampuk pimpinan.

Di sebalik kritikan, Khazanah membuat pelaburan dalam dan luar negara sehingga memperoleh pulangan yang cukup lumayan, malah laporan prestasi Khazanah pada Januari lalu menunjukkan kedudukan dan pencapaian kewangannya yang kekal kukuh.

Sebagai contoh, pelaburan awal Khazanah pada 2012 dalam syarikat e-dagang China, Alibaba bernilai AS$250 juta (RM1 bilion) telah mendapat hasil pulangan berjumlah sekitar AS$1 bilion (RM4 bilion) hingga AS$1.2 bi­lion (RM4.88 bilion).