Sehingga Selasa, indeks pasaran masih berada di bawah paras 1,700 mata dan hanya mengalami pantulan teknikal pada Jumaat lepas semasa aktiviti window dressing bagi sesetengah syarikat tersenarai yang mana penyata kewangan berakhir pada penghujung Jun.

Kita menyaksikan kenaikan indeks FBM KLCI sebanyak 35 mata pada Jumaat lepas dan indeks pasaran FBM KLCI berjaya menyentuh semula paras 1,700.

Para pembaca khasnya newbie saham atau pelabur dan pedagang saham yang baharu melibatkan diri dalam pelaburan dan perdagangan saham mungkin tidak mengetahui tentang perkara ini.

Dengan kata mudah, mereka tidak tahu bahawa terdapat lonjakan indeks pasaran saham pada bulan-bulan tertentu. Bulan-bulan yang dimaksudkan ialah Mac, Jun, September dan Disember setiap tahun.

Sekiranya newbie saham menghafal atau mengingati corak atau trend pergerakan pasaran pada bulan-bulan tersebut, maka sudah tentu ia membantu newbie untuk meramal pergerakan atau sentimen pasaran. Juga, newbie saham tidak perlu terlalu bersandar pada cakap-cakap orang yang bukan diiktiraf dan berkelayakan di dalam pasaran modal.

Dari segi perbualan dan kaji selidik Cikgu Saham ke atas beberapa pengikut di media sosial Facebook, majoriti memberikan rumusan telah mengalami kerugian melebihi untung semenjak kejatuhan pasaran saham selepas kekalahan parti Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei.

Punca yang paling ketara sekali ialah pelabur dan pedagang saham membeli saham-saham berkaitan kerajaan terdahulu sebelum tarikh PRU-14 berharap dengan kemenangan parti Barisan Nasional (BN), maka saham-saham syarikat tersenarai tersebut akan naik seiring dengan kenaikan indeks pasaran FBM KLCI secara keseluruhan.

Perkara ini telah sinonim berlaku sepanjang pemerintahan BN yang sentiasa menang dalam PRU yang lepas-lepas. Malangnya keadaan telah berlaku sebaliknya pada PRU-14 yang menyaksikan kekalahan BN yang mengakibatkan syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) jatuh dengan banyak sehingga mencecah kejatuhan sebanyak 30 peratus pada satu sesi dagangan Bursa Malaysia.

Kejatuhan yang disebabkan sentimen PRU, manisfesto 100 hari Pakatan Harapan, penyi­asatan skandal-skandal yang melibatkan individu berprofail tinggi, perletakan jawatan ke­tua-ketua pegawai eksekutif dan pengurusan kanan GLC, semakan semula projek-projek mega yang dijalankan oleh pemerintahan terdahulu serta isu-isu di peringkat global menjadikan suasana pasaran saham suram dan tidak rancak sehingga kini.

Malah, keadaan ini telah menakutkan pelabur dan pedagang sedia ada untuk memasuki pasaran seperti sedia kala kerana kebanyakan mereka telah mengalami kerugian sama ada kerugian sebenar atau kerugian atas kertas.

Lebih menyedihkan lagi, para newbie ini tidak mendapat bimbingan dan panduan atau hala tuju pasaran lebih-lebih lagi peristiwa kekalahan Barisan Nasional merupakan satu sejarah buat pertama kalinya yang mencorakkan sejarah politik negara dan juga sejarah pasaran saham.

Para newbie saham lazimnya lebih gemar mendengar cakap-cakap orang yang tidak dikenali latar belakang dalam saham atau mendapat khidmat nasihat dari saluran yang salah.

Terdapat ramai yang tidak pernah berkomunikasi dengan wakil peniaga berlesen samada remisier ataupun dealer untuk mendapatkan nasihat atau pendapat tentang pasaran saham atau hala tuju pasaran.

Selain itu, terdapat ramai yang menghadiri pembelajaran saham dari individu-individu yang tidak berkelayakan, tiada pengiktirafan atau tidak mempunyai lesen pasaran modal dan juga kurang pengalaman dalam pasaran. Ini ialah kerana peserta yang hadir itu hanya melihat kepada yuran yang dikenakan iaitu mengenakan harga yang tersangat murah atau harga mampu bayar.

Padahal mereka tidak menye­dari bahawa banyak syarikat broker saham termasuk Bursa Malaysia dan SIDC yang memberikan pendidikan saham secara percuma. Ini termasuk juga dealer dan remisier yang memberikan pendidikan percuma serta bimbingan kepada pelanggan.

Yang menghairankan juga ialah walaupun ada yang menyedari tentang perkhidmatan pembelajaran percuma ini, mereka masih juga gemar menghadiri seminar-seminar saham yang berjanji bulan bintang walaupun dikenakan yuran beribu ringgit tanpa menerangkan risiko-risiko yang bakal dihadapi oleh newbie saham dalam pasaran saham.

Kita sambung topik ini di minggu hadapan.